Mohd Zaidy Abdul Kadir (kiri).

KOTA KINABALU – Manifesto ‘Orang Muda Pemangkin Perubahan’ yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) Sabah disifatkan sebagai suntikan harapan baharu kepada generasi muda negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang, Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, manifesto itu bukan sekadar rangka dasar, tetapi cerminan impian dan keperluan anak muda yang selama ini menunggu peluang lebih adil serta masa depan yang lebih stabil.

“Kita tidak mahu lagi mendengar rakyat Sabah hidup dengan air tidak menentu, elektrik sering terputus dan jalan yang tidak sempurna.

“Oleh itu, enam tonggak RPS1 akan menjadi asas perubahan dalam satu penggal,” katanya yang mengulas mengenai komitmen BN adalah untuk melaksanakan pembangunan terarah melalui enam tonggak Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1).

Menurut beliau, manifesto RPS1 menonjolkan beberapa tawaran penting yang memberi manfaat langsung kepada belia

Katanya, Program Peneroka Muda (Pemuda) melalui akses tanah TOL  (Lesen Pendudukan Sementara) akan memberi peluang kepada anak muda membina kehidupan lebih kukuh.

“Begitu juga Koperasi Usahawan Anak Muda yang akan menyediakan sokongan bimbingan untuk mereka memulakan perniagaan dengan lebih terancang,” katanya lagi.

Beliau berkata, dua asas sukan iaitu Dana Khas Sukan dan e-Sukan dan Hab Sukan Permotoran Moden pula, antara yang boleh memangkin semangat anak muda di negeri ini.

Manifesto tersebut turut memperkenalkan Port Aspirasi Anak Muda di 10 daerah sebagai ruang pembangunan diri dan latihan kemahiran.

Selain itu, pemberian lesen kenderaan barangan (GDL) percuma kepada belia B40 dilihat bakal membuka peluang mereka memasuki sektor logistik dan meningkatkan pendapatan, katanya lagi.

Jelas Mohd Zaidy lagi, manifesto berkenaan membuktikan komitmen BN Sabah untuk memastikan anak muda terus dibimbing dan diberi sokongan sewajarnya.

“Ini merupakan huluran tangan kepada generasi yang selama ini menjadi harapan negeri.

“Dengan pelaksanaan RPS1 dan sokongan tepat, anak muda Sabah mampu membina masa depan lebih cerah,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast