Fazzrudin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Sarawak mengecam keras kenyataan bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini yang menyifatkan Sabah dan Sarawak sebagai “beban” serta mencadangkan supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibatalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan hari tersebut sebagai “hari yang menyedihkan untuk Malaysia” kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang bekas anggota Kabinet dan bekas ahli Parlimen.

Menurutnya, cadangan Zaid agar Sabah dan Sarawak “diberikan kemerdekaan” serta dakwaan Kerajaan Persekutuan tidak perlu menghormati MA63 dianggap sangat menyinggung, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Kenyataan itu telah menjejaskan asas Perlembagaan negara dan menghina setiap rakyat Malaysia terutama rakyat Sarawak dan Sabah yang telah menyumbang kepada pembinaan dan pengukuhan Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak menegaskan, MA63 bukan isu politik sewenang-wenangnya, sebaliknya sebuah perjanjian antarabangsa yang diiktiraf dan menjadi instrumen Perlembagaan yang membolehkan pembentukan Malaysia.

“Ia tidak boleh diketepikan atau diabaikan semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan prasangka peribadi atau provokasi politik.

“Merendahkan kepentingan MA63 adalah sama dengan mengurangkan kepentingan Malaysia itu sendiri, dan kenyataan sedemikian menunjukkan pengabaian serius terhadap kedaulatan undang-undang, prinsip perlembagaan, dan kebenaran sejarah,” tegas beliau.

Beliau turut mengecam dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak merupakan “beban” menyifatkan, retorik sedemikian hanya memecahbelahkan rakyat dan mencetuskan permusuhan antara wilayah.

“Retorik sebegini mencetuskan permusuhan antara wilayah, menimbulkan rasa tidak puas hati, dan berisiko merosakkan keharmonian yang telah dibina oleh rakyat Malaysia selama beberapa dekad,” tambahnya.

Fazzrudin berkata, Sarawak tetap konsisten dalam pendiriannya untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia dan hak Sarawak dalam rangka perlembagaan dengan cara mengeluar kenyataan tidak bertanggungjawab yang memutarbelitkan sejarah.

“Kenyataan beliau secara jelas menghasut untuk mengancam keharmonian awam, mencetus permusuhan dan menjejaskan struktur Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.

Tambahnya, kenyataan melabel dua wilayah Malaysia sebagai ‘beban’ bukanlah analisis politik, sebaliknya ia adalah provokasi dn berpotensi menimbulkan ketegangan antara rakyat Malaysia,” katanya lagi, sambil menolak sepenuhnya retorik yang dianggap berbahaya itu.

Beliau mengingatkan, Malaysia dibina atas asas kerjasama, maruah dan tanggungjawab bersama.

“Kita tidak boleh membiarkan kata-kata tidak bertanggungjawab daripada mana-mana individu merosakkan perpaduan dan keharmonian negara kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast