Mohd Zaidy (kanan) ketika kempen PRN Sabah.

KUALA LUMPUR – Penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dalam siri kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah baru-baru ini membuka ruang kepada beliau menilai sendiri tahap sokongan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurutnya, kepercayaan penduduk setempat terhadap Bung Moktar masih utuh dengan rata-rata masyarakat menyatakan hasrat agar pemimpin itu terus dikekalkan sebagai ADUN Lamag.

Antara pengalaman yang paling meninggalkan kesan, jelas Mohd Zaidy, ialah pertemuannya dengan Junaidi Ahmad Sultan, anak jati Lamag yang kini mengikuti pengajian Sarjana Perancangan Bandar di Universiti Malaya.

Junaidi merupakan salah seorang anak muda tempatan yang menerima tajaan pendidikan daripada Bung Moktar.

Mohd Zaidy menyifatkan kisah tersebut sebagai bukti kesungguhan Bung Moktar membuka laluan pendidikan tinggi untuk generasi muda Lamag, selari dengan fokus pembangunan modal insan di Sabah.

“Apabila pemimpin melabur pada pendidikan, sebenarnya mereka sedang melabur pada masa depan masyarakatnya,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Zaidy turut melihat perkembangan positif apabila generasi muda bawah 40 tahun kini menggalas sebahagian besar kepimpinan komuniti di Lamag.

Katanya, perkara itu berlaku kerana adanya keyakinan dan ruang yang diberikan oleh Bung Moktar kepada golongan muda untuk memimpin dan menyumbang.

Beliau menegaskan bahawa bentuk kepimpinan sedemikian dengan turun padang dan konsisten melahirkan bakat baharu merupakan keperluan penting demi masa depan Lamag.

Sehubungan itu, Mohd Zaidy menyatakan keyakinannya bahawa rakyat Lamag wajar mengekalkan Bung Moktar sebagai wakil rakyat mereka, memandangkan rekodnya dalam memperjuangkan pendidikan, kebajikan dan pembangunan anak muda Sabah selari dengan aspirasi serta manifesto Barisan Nasional Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast