Calon GRS N30 Bongawan, Tan Sri Anifah Aman.

PAPAR – Calon GRS bagi kerusi N.30 Bongawan, Tan Sri Anifah Aman menegaskan beliau tidak akan melayan serangan peribadi terhadap dirinya sepanjang kempen.

Beliau berkata, musim pilihan raya lazimnya membuka ruang untuk lawan memainkan isu peribadi, termasuk dakwaan mengenai kekayaannya namun pendekatan sedemikian langsung tidak membawa perubahan kepada kehidupan penduduk Bongawan.

“Saya bertanding bukan untuk menjawab gosip. Saya bertanding untuk menyelesaikan masalah rakyat. Serangan peribadi tidak akan menjadikan jalan baik, air stabil atau peluang pekerjaan meningkat,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau, majoriti penduduk bimbang terhadap isu asas seperti bekalan air yang kerap terganggu, jalan raya yang lama rosak, gangguan elektrik, sekolah yang usang serta ketiadaan peluang ekonomi untuk anak muda.

“Bongawan perlukan wakil yang boleh memperjuangkan keperluan mereka di peringkat negeri dan persekutuan. Pembangunan tidak berlaku melalui kenyataan, tetapi melalui kerja yang bersungguh-sungguh,” ujar bekas menteri luar itu.

Anifah turut menegaskan, pengalaman dan rangkaiannya di peringkat nasional boleh dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak laluan pelaburan serta mempercepatkan kerja naik taraf infrastruktur, sesuatu yang menurutnya tidak dapat dicapai hanya melalui bantuan kecil atau program berskala terhad.

“Masyarakat Bongawan sudah tahu beza antara kerja sebenar dengan aktiviti yang hanya muncul waktu pilihan raya. Mereka mahu perubahan yang boleh dirasai, bukan sekadar janji atau publisiti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, fokusnya ialah membawa momentum baharu yang boleh mengeluarkan Bongawan daripada kitaran masalah yang sama sejak beberapa penggal, termasuk isu sosial dan pembangunan kampung yang tidak bergerak.

“Rakyat tidak minta perkara yang luar biasa. Mereka hanya mahukan keperluan asas yang sempurna, laluan ekonomi yang jelas, dan seorang wakil yang tidak hilang selepas pilihan raya,” katanya.

Berhubung serangan terhadap latar belakang kewangannya, Anifah menyifatkannya sebagai taktik lama yang menunjukkan ketiadaan idea atau pelan pembangunan daripada pihak lawan.

“Serangan itu tidak membina apa-apa untuk rakyat. Ia tidak menyelesaikan apa-apa, pengundi Bongawan dapat menilai antara persembahan politik dan penyampaian sebenar.

“Jika diberi mandat, saya akan pastikan Bongawan tidak terus tertinggal. Saya mahu bawa perubahan yang mereka sudah lama tunggu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast