PENAMPANG – Calon Pakatan Harapan (PH), Remysta Jimmy Taylor mempertaruhkan enam resolusi kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Moyog jika beliau dipilih menjadi wakil rakyat kawasan tersebut.
Menurutnya, resolusi-resolusi berkenaan akan menjadikan Moyog lebih baik.
Antaranya adalah program tuisyen percuma kepada pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan peluang pekerjaan yang bagus.
Selain itu, meningkatkan taraf hidup serta ekonomi, penambahan klinik bergerak di kawasan seperti Terawi, Kibabaig, Timpangoh, Maang dan Pogunon untuk pemeriksaan asas serta rawatan segera.
Remysta juga bertekad untuk memperjuangkan pembinaan Hospital Penampang yang moden dan dilengkapi peralatan perubatan terkini bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, sekali gus memastikan akses rawatan lebih dekat untuk penduduk Moyog.
Menurutnya, setakat ini para pengundi memberi sokongan padu kepadanya.

Beliau yang ditemui selepas selesai berkempen di Dewan Gawir malam tadi berkata, sokongan para pengundi memberi keyakinan kepadanya untuk menentukan hala tuju Moyog yang lebih baik pada masa depan.
Pada masa sama, beliau turut mengulangi komitmen untuk mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir selain berhasrat menjadikan Moyog sebagai hab pelancongan bagi memacu pendapatan komuniti setempat.
Remysta berdepan dengan persaingan sengit apabila berdepan dengan 11 calon lain iaitu Peter Maurice Lidadun (Bebas), Cleftus Stephen Spine (PIS), Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO), Francis Mojikan (PN-Bersatu), Richard Ronald Dompol (PKS), Ricky Chang Onn Pin @ Ricky Richard (Bebas), Walter Norbert Johnny (PBK), Joeynodd Aiiko Ronald C Bansin (GRS-PBS), Mcmery Victor Ninin (KDM), Joseph Suleiman (STAR) dan Terrence Siambun (Warisan
Pada pilihan raya lalu, kerusi Moyog dimenangi Datuk Ignatius Darell Leiking, Plus-Warisan dengan majoriti 5,935. – MalaysiaGazette















