KOTA KINABALU – Menjelang hari pengundian esok, para pengundi di Sabah diseru memilih Pakatan Harapan (PH) demi memastikan masa depan negeri itu terus terjamin di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, hubungan kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini berada pada tahap paling baik di mana mesra dan akrab sekali gus membuka ruang lebih besar untuk memastikan kebajikan rakyat Sabah diberi perhatian sewajarnya.
“Saya yakin pengundi Sabah akan membuat pilihan berdasarkan fakta dan realiti bukan emosi semata-mata. Esok hari penentuan, saya yakin rakyat Sabah akan memilih yang terbaik demi masa depan yang lebih terjamin serta gemilang,” katanya selepas meninjau persiapan akhir di Bilik Gerakan Utama DUN Moyog.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sudah berada di Sabah sejak 15 November lalu iaitu pada hari penamaan calon bagi memastikan seluruh jentera PH khususnya di DUN Moyog bersama calon Remysta Jimmy Taylor bergerak secara tersusun, terurus dan efektif.
“Walaupun pilihan raya negeri kali ini sengit dan mencabar tetapi rekod keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap Sabah tidak boleh dinafikan.
“Kerajaan Madani telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menjaga kepentingan Sabah secara menyeluruh, malah, Anwar adalah satu-satunya perdana menteri yang paling kerap turun ke Sabah bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan dengan baik,” katanya lagi.
Sambil menegaskan, Sabah menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah melalui Belanjawan MADANI ia secara jelas jelas kesungguhan kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan negeri itu.
“Kestabilan hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat merupakan faktor utama yang perlu dipertahankan melalui pilihan raya.
“Paling penting, hubungan ini mesti dikekalkan untuk jangka masa panjang dan pilihan raya adalah proses demokrasi untuk memilih kerajaan yang benar-benar membawa manfaat kepada rakyat Sabah, sama seperti yang selalu ditekankan Anwar,” ujarnya. – MalaysiaGazette















