KOTA KINABALU – Wakil rakyat UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak wajar diterima menyertai kerajaan negeri, apatah lagi selepas episod ‘Langkah Kinabalu 2023’ yang pernah menggugat kestabilan pentadbiran Sabah.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Sabah (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN perlu menjadi pembangkang yang lebih kritikal sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“ADUN-ADUN UMNO-BN perlu memastikan dasar Kerajaan Negeri Sabah yang baharu ini sentiasa dipantau, dikritik secara fakta serta dinilai untuk kepentingan rakyat.
“Langkah Kinabalu sewajarnya dijadikan pengajaran di mana kerajaan negeri mesti dibina atas asas integriti, kesetiaan politik dan penghormatan tegas terhadap mandat rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengesahkan tiada parti memperoleh majoriti mudah dan gagal mendapat sekurang-kurangnya 37 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), lewat malam tadi.
Ramlan berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 kerusi, Warisan meraih 25 kerusi, manakala BN pula enam, Bebas (lima), UPKO (tiga), Star (dua), Pakatan Harapan (satu), Perikatan Nasional (satu) dan KDM (satu).
Susulan keputusan itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada 3.20 pagi.
Selain UMNO-BN, kata Zulkarnain, ADUN-ADUN Warisan juga lebih sesuai terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif serta memikul tanggungjawab untuk meneliti dasar kerajaan secara kritikal dan mempertahankan kepentingan rakyat.
“Pembangkang di Sabah itu juga perlu mempersoalkan keputusan yang merugikan negeri, dan menyokong inisiatif kerajaan negeri yang membawa manfaat nyata kepada Sabah.
“Pembangkang yang efektif bukan sahaja memperkukuh proses demokrasi, malah membantu memastikan kerajaan negeri mencapai tahap kecekapan dan integriti tertinggi dalam pelaksanaan agenda pembangunan,” katanya.
Sementara itu, kata Zulkarnain, keputusan PRN Sabah memperlihatkan mandat rakyat jelas memberi ruang sepenuhnya kepada GRS untuk mentadbir dengan stabil.
“Blok pembangkang pula perlu lebih matang, berprinsip dan mampu menjalankan peranan semak dan imbang secara berkesan.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Sabah baharu dijangka meneruskan pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, satu kerangka pembangunan komprehensif.
“SMJ 2.0 dijangka memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan luar bandar, pengurusan sumber negeri secara telus serta peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru agar kerajaan negeri GRS mentadbir dengan penuh amanah, integriti dan tanggungjawab, manakala Warisan dan UMNO-BN pula menjalankan fungsi semak dan imbang secara profesional, rasional dan beradab.
“Demi kestabilan jangka panjang, inilah formula terbaik untuk memastikan Sabah terus melangkah ke hadapan dengan lebih kukuh, stabil dan berwibawa,” katanya.
Zulkarnain turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat Sabah yang telah keluar mengundi dengan penuh tanggungjawab.
“Kini tibalah masanya untuk kerajaan baharu menunaikan seluruh manifesto serta komitmen yang telah dijanjikan kepada rakyat sepanjang kempen PRN-17.
“Kerajaan Negeri Sabah kembali dibentuk melalui kerjasama GRS, UPKO, PH serta beberapa ADUN Bebas, dengan gabungan keseluruhan 38 kerusi, melepasi majoriti mudah daripada 73 kerusi yang dipertandingkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















