KUALA LUMPUR – Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara dengan nilai ditambah sebanyak RM417.6 bilion, menggambarkan kedudukannya sebagai pusat aktiviti ekonomi berintensiti tinggi.

Bilangan pertubuhan yang beroperasi di negeri ini pada 2022 adalah sebanyak 270,363 pertubuhan dengan 2,679,675 pekerja.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, analisis mengikut daerah menunjukkan Petaling sebagai penyumbang terbesar dengan nilai ditambah RM224.0 bilion, diikuti Klang (RM89.3 bilion), Gombak (RM32.2 bilion), Ulu Langat (RM28.7 bilion) dan Sepang (RM18.6 bilion).

Sektor perkhidmatan menjadi teras pertumbuhan dan pembangunan daerah Petaling, manakala sektor pembuatan dan pembinaan turut memperkukuh struktur ekonomi daerah melalui penciptaan pekerjaan dan peluasan kapasiti perusahaan.

Bagi Kuala Lumpur, kedudukannya sebagai pusat ekonomi utama negara terserlah melalui nilai ditambah kedua tertinggi sebanyak RM301.8 bilion, hasil daripada 137,882 pertubuhan yang beroperasi dengan melibatkan seramai 1,639,468 pekerja dengan jumlah gaji dan upah sebanyak RM77.4 bilion.

Struktur ekonomi Kuala Lumpur jelas didominasi oleh sektor perkhidmatan, yang menyumbang 93.6 peratus daripada keseluruhan nilai ditambah.

Jumlah guna tenaga dalam sektor Perkhidmatan mencatatkan 1,351,426 pekerja dengan gaji & upah sebanyak RM68.1 bilion.

Aktiviti utama seperti perdagangan borong dan runcit, maklumat & komunikasi, kewangan serta perkhidmatan profesional menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi bandar raya ini.

Sektor ekonomi lain turut menjana nilai ditambah Kuala Lumpur, sektor pembinaan dengan sumbangan 3.7 peratus, pembuatan (1.1%) dan perlombongan & pengkuarian (1.6%).

“Struktur ekonomi Kuala Lumpur yang matang dan berorientasikan perkhidmatan menunjukkan bandar raya ini terus menjadi nadi pelaburan dan inovasi.

“Tumpuan aktiviti ekonomi bernilai tinggi di Kuala Lumpur turut memberikan kesan pengganda yang besar kepada kawasan metropolitan sekitarnya,” tambahnya.

Beralih kepada negeri Sarawak, nilai ditambah sebanyak RM165.4 bilion terhasil daripada operasi sebanyak 70,626 pertubuhan dengan bilangan pekerja seramai 624,361 orang.

Analisis mengikut daerah pentadbiran di negeri Sarawak menunjukkan Bintulu menduduki tangga teratas dengan nilai ditambah RM87.8 bilion, diikuti Miri (RM34.1 bilion), Kuching (RM23.6 bilion), Sibu (RM9.1 bilion) dan Mukah (RM2.2 bilion).

Perbandingan mengikut sektor menunjukkan kepelbagaian sumbangan ekonomi mengikut daerah di Sarawak.

Sektor pertanian merupakan antara aktiviti ekonomi utama di Miri, dengan 18,653 pekerja dan jumlah gaji & upah sebanyak RM404.6 juta.

Sementara itu, aktiviti ekonomi utama di Bintulu ialah perlombongan & pengkuarian dengan 3,470 pekerja, nilai ditambah RM39.7 bilion dan gaji & upah RM1.1 bilion.

Sektor Pembuatan turut merupakan aktiviti ekonomi utama di Bintulu, dengan 26,701 pekerja, nilai ditambah RM38.0 bilion dan gaji & upah RM1.7 bilion.

Pembinaan dan Perkhidmatan merupakan aktiviti ekonomi utama di Kuching.

Seramai 42,855 pekerja sektor Pembinaan direkodkan di daerah Kuching, dengan nilai ditambah RM2.33 bilion dan gaji & upah RM1.2 bilion, manakala sektor perkhidmatan merekodkan 147,218 pekerja, nilai ditambah RM15.1 bilion dan gaji & upah RM7.2 bilion.

Johor merupakan negeri yang merekodkan sumbangan nilai ditambah keempat tertinggi pula menjana nilai ditambah sebanyak RM129.4 bilion daripada operasi sebanyak 129,425 pertubuhan dengan 1,264,822 pekerja.

Analisis mengikut daerah menunjukkan Johor Bahru sebagai penyumbang utama nilai ditambah bagi negeri Johor (RM67.4 bilion), diikuti Batu Pahat (RM18.2 bilion), Kulai (RM11.6 bilion), Muar (RM9.3 bilion) dan Kluang (RM6.8 bilion).

Dari segi sektoral, sektor perkhidmatan, pembuatan, dan pembinaan merupakan sektor ekonomi utama di Johor Bahru dan Batu Pahat, sekali gus menjadikan kedua-dua daerah ini sebagai nadi ekonomi negeri Johor.

Di Johor Bahru, sektor pembuatan menyumbang nilai ditambah sebanyak RM32.4 bilion dengan 225,530 pekerja dan menerima gaji & upah sebanyak RM9.1 bilion, sektor perkhidmatan pula mencatat nilai ditambah RM27.1 bilion dengan 267,295 pekerja dan gaji & upah RM8.85 bilion, manakala sektor pembinaan menyumbang nilai ditambah RM4.6 bilion dengan 101,682 pekerja dan gaji & upah RM3.1 bilion.

Manakala di Batu Pahat, sektor Ppembuatan menghasilkan nilai ditambah RM8.78 bilion dengan 80,796 pekerja dan menerima gaji & upah RM2.74 bilion, sektor perkhidmatan menyumbang nilai ditambah RM7.24 bilion dengan 87,634 pekerja dan gaji & upah RM1.91 bilion, manakala sektor pembinaan menyumbang nilai ditambah RM0.71 bilion dengan 16,146 pekerja dan gaji & upah RM0.38 bilion.

Gabungan ketiga-tiga sektor ini bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi, malah menyokong pengembangan infrastruktur, penciptaan peluang pekerjaan, dan memastikan Johor Bahru serta Batu Pahat kekal sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang strategik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast