Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap kepada media ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dikatakan akan menyertai barisan Kabinet baharu enggan mengulas mengenai perkara ini.

Ketika diminta mengulas mengenai tawaran yang diterima, beliau mengambil pendekatan mengunci mulut.

“Lebih baik saya jangan komen,” ujarnya ringkas kepada MalaysiaGazette.

Namanya disebut-sebut akan menyertai Kabinet selepas laporan mengenai rombakan dikatakan bakal berlaku awal Disember ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, ramai Ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti yang menyokong kerajaan dikatakan sedang ‘melobi’ jawatan Menteri atau Timbalan Menteri.

Berbeza dengan yang melobi, Wan Saiful yang kini berstatus Ahli Parlimen Bebas dijemput untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Wan Saiful merupakan bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipecat sebelum mengambil keputusan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Menurut sumber, perkembangan mengejutkan ini timbul di tengah-tengah dakwaan rombakan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dilakukan sebelum akhir tahun.

Sumber tersebut mendedahkan, Wan Saiful telah dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan wakil dari Kerajaan pada minggu lalu.

Sumber tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai tawaran tersebut termasuk portfolio spesifik yang mungkin ditawarkan kepada Wan Saiful jika bersetuju untuk menyertai kerajaan.

Perkembangan ini dilihat sebagai satu langkah penting dan berpotensi mengubah landskap politik semasa terutamanya jika Wan Saiful menerima tawaran tersebut.

Senario tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan petanda lebih banyak ‘lompatan’ daripada pembangkang untuk mengukuhkan majoriti kerajaan. – MalaysiaGazette

Wan Saiful sertai Kabinet baharu?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast