William Ng

KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) membantah keras terhadap cadangan mewajibkan majikan melaporkan semua kekosongan jawatan dan jawatan baharu yang diwujudkan meskipun menyambut baik keseluruhan pakej pembaharuan di bawah pindaan
terbaru Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (EIS) serta undang-undang keselamatan sosial.

Presidennya, William Ng berkata, walaupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah memaklumkan tentang moratorium sehingga dua tahun sebelum penguatkuasaan, langkah itu masih tidak memadai untuk menangani kebimbangan persatuan itu.

Jelasnya, sebagai persatuan PMKS tertua dan terbesar di Malaysia, Samenta langsung tidak dirundingi berhubung peruntukan ini, walaupun PMKS merupakan pihak yang akan menanggung beban pentadbiran dan operasi paling besar.

“Walaupun kami terlibat dalam perbincangan mengenai pindaan EIS, kewajipan pelaporan kekosongan kerja ini muncul sebagai kejutan yang tidak dialu-alukan.

“Kami percaya apa-apa dasar yang mempunyai implikasi besar terhadap pengambilan pekerja mesti didahului dengan libat urus yang bermakna dan tersusun bersama pihak berkepentingan PMKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keperluan ini menambah beban pematuhan bagi PMKS yang sudah pun tertekan akibat peningkatan kos dan kekurangan tenaga kerja.

Katanya, terdapat banyak sebab munasabah mengapa sesebuah PMKS tidak boleh atau tidak mahu mendedahkan kekosongan jawatan termasuk apabila penyandang jawatan masih berkhidmat, keperluan melindungi strategi dan rancangan pertumbuhan daripada pesaing, atau kerana kekosongan tersebut bergantung kepada keadaan pasaran.

Wiliam berkata, keputusan yang memberi kesan serius dan melemahkan PMKS tidak seharusnya dibuat tanpa memahami realiti operasi perniagaan.

“Oleh itu, Samenta menggesa kerajaan dan Perkeso supaya menarik balik elemen mandatori dalam keperluan pelaporan kekosongan tersebut dan sebaliknya melaksanakan sistem sukarela berinsentif, di mana majikan digalakkan untuk berkongsi maklumat kekosongan.

“Insentif boleh merangkumi akses keutamaan kepada latihan dibiayai kerajaan, perkhidmatan padanan pekerjaan, atau manfaat berkaitan cukai,” ujarnya sambil bersedia untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan dan Perkeso bagi memastikan reformasi pasaran buruh mencapai keseimbangan yang wajar antara melindungi pekerja dan menyokong pertumbuhan perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, libat urus tersebut mesti bermula dengan rundingan yang sebenar dan bukan dengan mengharapkan Samenta sekadar mengesahkan keputusan yang telah dibuat.

Perkeso baru-baru mencadangkan untuk memberikan pengecualian kepada PMKS daripada kewajipan melaporkan kekosongan jawtaan atau pewujudan jawatan baharu, susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, perkara itu tertakluk kepada hasil rundingan dengan pihak berkepentingan dan Perkeso akan bekerjasama dengan majikan serta pekerja bagi memperincikan pelaksanaannya.

Tempoh moratorium dua tahun akan diberikan sebelum pindaan dikuatkuasakan dan memberi jaminan kepada majikan bahawa tiada tindakan atau penalty dikenakan jika gagal melaporkan kekosongan jawatan dalam tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast