[Gambar fail] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi berpendirian, titah adendum yang dipohon Datuk Seri Najib Razak tidak sah untuk dikuatkuasakan kerana ia tidak dibincang dan direkodkan oleh Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Hakim Alice Loke Yee Ching berkata, meskipun titah berkenaan wujud, ia tidak dikeluarkan berdasarkan proses perlembagaan yang betul menjadikan ia tidak boleh dikuatkan melalui perintah mandamus.

Oleh yang demikian, beliau berpuas hati, kerajaan dan enam responden lain tidak berkewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Hakim Alice menyatakan demikian ketika menolak semakan kehakiman bekas Perdana Menteri untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara tiga tahun sebagai tahanan rumah.

Dengan keputusan itu, bekas Presiden UMNO kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sudah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International sejak 23 Ogos 2022.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir bagi mengikuti keputusan berhubung kesahihan serta pelaksanaan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 DISEMBER 2025.

Dalam penghakimannya, Hakim Alice menyatakan, isu kewujudan titah adendum tidak lagi menjadi persoalan di hadapan beliau kerana isu tersebut telah dimuktamadkan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Perkara yang dipertikaikan di hadapan mahkamah ini adalah bagi menentukan kesahihannya pada peringkat pendengaran substantif.

“Oleh yang demikian, saya tidak perlu membenarkan relif yang dipohon agar titah adendum itu dikemukakan kepada pemohon,” ujar beliau.

Pada asalnya, Najib dipenjara 12 tahun dan dikenakan denda RM210 juta, namun hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta selepas beliau mendapat pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Bekas Presiden UMNO itu kemudian memfailkan semakan kehakiman pada 1 April tahun lalu bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain menguatkuasakan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang didakwa diperkenan YDPA ke-16.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib kekal habiskan baki hukuman 3 tahun di Penjara Kajang

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast