JOHOR BAHRU – Sor Wat Kit mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulai dan Setiausaha DAP Cawangan Taman Sutera selepas sembilan tahun menjadi ahli dan aktif dalam parti itu.
Bekas Pengarah Biro Hal Ehwal Mahasiswa DAPSY Johor itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas tidak lagi dapat bersetuju dengan beberapa pendekatan dan keputusan diambil kepimpinan Pusat serta sayap DAPSY Johor.
“Namun, saya juga memahami realiti politik bahawa dalam struktur dan susunan sedia ada, ruang untuk membawa perubahan secara bermakna adalah amat terhad, selari dengan hakikat bahawa politik sering ditentukan oleh kekuatan dan penguasaan.
“Oleh itu, keputusan saya untuk keluar daripada parti ini bukanlah semata-mata berpunca daripada kekecewaan terhadap individu atau kepimpinan tertentu.
“Sebaliknya lebih didorong keinginan saya untuk memperluaskan pengalaman dan pendedahan politik selagi usia masih muda dengan meneroka platform yang berbeza,” katanya dalam surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong yang bertarikh 28 Disember lalu.
Katanya, keputusan itu juga dilakukan kerana ingin merasai sendiri makna sebenar politik negara serta memahami konsep Malaysia untuk rakyat Malaysia melalui interaksi yang lebih luas dengan pelbagai kaum dan parti politik.
“Saya percaya pengalaman sedemikian amat penting bagi pembentukan kematangan politik saya. Segala nilai dan kekuatan positif yang terdapat dalam DAP termasuk ketegasan dalam soal kebertanggungjawaban awam, keberanian menentang ketidakadilan serta komitmen terhadap reformasi institusi akan saya bawa bersama-sama dan amalkan di mana-mana platform yang saya sertai pada masa hadapan,” ujarnya.
Wat Kit mengakui telah mempelajari banyak perkara dan pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat cawangan serta negeri semasa dalam parti, terlibat secara langsung dengan kerja-kerja akar umbi, pengurusan organisasi dan amalan politik.
“Sumbangan DAP dalam membentuk pemahaman saya terhadap ideologi politik, disiplin organisasi, wacana awam serta semangat semak dan imbang tidak dapat dinafikan dan atas segala peluang serta bimbingan tersebut, saya sentiasa berasa amat berterima kasih.
“Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan serta para pemimpin yang banyak membimbing dan memberi peluang kepada saya sepanjang penglibatan dalam parti.
“Walaupun saya memilih untuk melangkah pergi, segala jasa, pengorbanan dan persahabatan yang terjalin tidak akan saya nafikan mahupun lupakan,” katanya.- MalaysiaGazette















