KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau meminjam RM30 juta daripada ahli perniagaan Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman.
Beliau sebaliknya menganggap ia pelaburan untuk projek mega.
Bekas veteran UMNO itu berkata, beliau tidak pernah ‘terhegeh-hegeh’ untuk meminjam wang daripada Aliff Syukri seperti yang didakwa pempengaruh tersebut.
“Umur saya 86 tahun manakala dia 30-an. Saya telah membantu ramai usahawan menjadi jutawan selama 30 tahun sebagai ahli Parlimen, saya juga membantu ramai orang semasa bersama UMNO.
“Tidak masuk akal saya pinjam wang RM30 juta untuk diberikan kepada parti Pas (seperti yang didakwa Aliff Syukri). Parti berkenaan juga tidak mahu komen kerana ia kebudak-budakan,” katanya.
Abdul Kadir menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguamnya S. Ravichandaran pada prosiding perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan terhadap Aliff Syukri.
Dalam keterangannya, plaintif turut menafikan gambaran defendan bahawa beliau seorang yang kaya raya, `kaki arak’ dan `kaki perempuan’ dan dilabel seperti `gangster Hollywood’.
“Saya jenis old school tapi digambarkan seperti dirty old man,” ujarnya ketika menjawab soalan tambahan peguam.
Abdul Kadir kemudian menyatakan Aliff Syukri menyunting gambar beliau duduk bersebelahan seorang penyanyi terkenal ketika dijemput sebagai tetamu satu majlis.
Ujarnya, gambar itu juga disunting dan memaparkan gelas minuman arak seolah-olah menyindirnya sebagai individu yang gemar berpesta dan mengambil minuman keras dengan motif tersembunyi untuk mencemarkan nama baiknya.
Dalam keterangannya, Abdul Kadir menyatakan Aliff Syukri tidak mempunyai pengalaman untuk membangunkan projek mega meskipun beliau menguruskan pelbagai perniagaan.
Ujarnya, beliau bangga menyaksikan kejayaan Aliff Syukri meskipun pempengaruh itu tidak berpendidikan tinggi.
Bekas menteri Kabinet itu menyaman Aliff Syukri berhubung dakwaan pempengaruh tersebut bahawa beliau berhutang `puluhan juta ringgit’ yang menjejaskan reputasinya.
Menurut Abdul Kadir berkata, sekitar Julai 2023, Aliff Syukri menerusi laman Instagramnya mendakwa beliau selaku bekas menteri sepatutnya kaya dan mampu melangsaikan hutang tetapi mengelak membayarnya.
Hantaran itu disertakan dengan gambar Abdul Kadir dan pembaca dipelawa meninggalkan komen serta disiarkan dalam pelbagai laman web dan platform media sosial pada hari sama.
Dengan menerbitkan kata-kata berunsur fitnah itu, plaintif mendakwa, tindakan defendan secara sengaja, cuai dan melulu itu telah menyebabkan kerosakan besar terhadap nama baik, reputasi serta imejnya.
Sementara itu, Aliff Syukri dalam pembelaannya bergantung kepada hujah justifikasi dengan mendakwa Abdul Kadir secara peribadi terbabit dalam usaha sama menerusi dua syarikat, Buckhingham By-The-Sea Sdn Bhd dan Pembangunan Utara Baru Sdn Bhd pada 2018.
Defendan berkata, beliau melabur RM30 juta dalam usaha sama itu dan Abdul Kadir memberi jaminan peribadi untuk memulangkan modal berkenaan, termasuk keuntungan dan faedah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Roslan Mat Nor bersambung esok. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Abdul Kadir layak beri keterangan meskipun berstatus muflis – Hakim















