KUANTAN – Syarikat air mineral beroksigen, Bubbles O2 Sdn. Bhd. melabur RM20 juta bagi melaksanakan projek cari gali sumber air bawah tanah di Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek dengan kerjasama kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang itu dijangka membuka lebih 100 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Jelasnya, projek itu dilaksanakan di Ladang Gambang, Mukim Kuala Kuantan, melibatkan keluasan 74 ekar dan merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri.
Ia termasuk daripada cari gali sumber air bawah tanah, pemprosesan, pengeluaran sehingga pengkomersilan produk air mineral premium.
“Saya pasti ini akan menguntungkan kedua-dua pihak. Bagi pihak kerajaan negeri, sudah pastinya kita dapat meningkatkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan rakan strategik untuk jangka masa panjang.
“Dan kerajaan negeri akan beri kerjasama pada mana-mana pelabur yang ingin melabur di negeri Pahang dan ini sebagai contohnya dalam tempoh lebih kurang 12 bulan ya, setahun, ianya telah dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi dan barisan Exco negeri Pahang.
Menurutnya, dijangkakan kapasiti pengeluaran produk minuman itu boleh dianggarkan minimum 14 juta botol setahun dengan pengeluaran pertama dijangka dalam tempoh enam bulan lagi.
Wan Rosdy menjelaskan, perbincangan asal berkaitan pelaburan itu dilakukan di Dubai sebelum pihak Bubbles O2 mengemukakan pelan bagi pelaksanaan projek tersebut pada Mei tahun lalu.
“Maknanya, dalam masa antara 15 bulan hingga pembentangan dilakukan Bubbles O2, maka hari ini ia sudah menjadi kenyataan.
“Ini adalah hasrat dan aspirasi kita. Sebagai kerajaan, kita mahu mempermudahkan proses birokrasi supaya membuka ruang lebih mudah kepada pelabur datang dan membuat pelaburan di Pahang,” jelasnya. – MalaysiaGazette















