Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor, Dr Mohd Fauzi Fadzil

KUALA LUMPUR – Keperluan untuk mewujudkan sebuah pusat penternakan babi berpusat bukanlah idea yang dicetuskan Kerajaan Madani Selangor sebaliknya perkara itu sudah mula dibincangkan sejak 2007 semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Komunikasi Keadilan Selangor, Dr Mohd Fauzi Fadzil berkata, keadaan itu memberi isyarat bahawa isu untuk memusatkan ladang penternakan babi di Selangor dipersetujui oleh semua pihak dan ia bukanlah isu politik yang harus ditunggang demi untuk mempermainkan emosi dan sokongan rakyat.

Beliau yang menjawab kenyataan dibuat Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu seharusnya menginsafi kegigihan usaha Kerajaan Madani Selangor untuk mengawal jumlah dan keselamatan ladang babi semenjak tahun 2008 sehingga kini.

Ini kerana data menunjukkan bahawa semasa pemerintahan BN di Negeri Selangor pra- 2008 terdapat 132 ladang ternakan babi di negeri itu yang mana majoriti ladang tersebut beroperasi secara haram.

Tambahnya, sehingga kini kerajaan negeri berjaya mengurangkan ladang ternakan babi kepada 111.

“Justeru dari segi rekod terbukti pencapaian Kerajaan Madani Selangor 2026 adalah lebih cemerlang berbanding Kerajaan Barisan Nasional Selangor pra-2008,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/01/11/tinggal-sekali-dalam-kandang-jamal/

https://malaysiagazette.com/2026/01/10/sultan-selangor-tak-setuju-rancangan-ternakan-babi-di-kuala-langat/

Terdahulu Malaysia Gazette melaporkan, Jamal berkata, beliau menjunjung dan menyokong sepenuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak bersetuju dengan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjong Sepat, Kuala Langat.

Katanya, titah Istana Selangor itu tidak wajar dikesampingkan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor dan sikap berdiam diri wakil rakyat kawasan berkenaan merupakan satu keingkaran dan pengkhianatan kepada kepentingan rakyat.

Menurut Dr Mohd Fauzi, seluruh rakyat Selangor termasuk EXCO Infrastruktur Pertanian Negeri menjunjung titah Tuanku Sultan Selangor.

Malah, Datuk Ir. Izham hashim memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberi keutamaan terhadap pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan jumlah penternakan babi yang sekadar memenuhi keperluan komuniti bukan Islam.

Perkara itu katanya, bakal diperhalusi melalui penerangan secara terperinci oleh Ir Izham dalam pertemuan dengan Tuanku Sultan Selangor esok.

“Namun di sebalik pengendalian isu secara berhemah yang dilakukan oleh Kerajaan Madani Selangor, terdapat usaha oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan dan membangkitkan emosi rakyat.

“Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos adalah antara pihak yang sehingga kini sedang giat membangkitkan perasaan rakyat Negeri Selangor dengan maklumat yang tidak tepat.

“Beliau memberi gambaran seolah-olah pimpinan Kerajaan Madani Selangor sehingga kini masih ingkar terhadap titah Tuanku Sultan Selangor,” katanya lagi.

Menurut Dr Mohd Fauzi, Jamal turut melemparkan tuduhan palsu seolah-olah Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah yang bertanggungjawab menjaga kawasan ladang penternakan babi di Kuala Langat sebagai bersetuju untuk projek tersebut diteruskan tanpa sebarang usaha penambahbaikan.

Sedangkan maklum balas Borhan semenjak awal lagi menolak penternakan babi skala besar atau berorientasikan eksport. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast