SEBERANG PERAI – Industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) di Pulau Pinang menerima lonjakan baharu apabila Syntiant Corp. melancarkan kampus pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bakal memperkukuh keupayaan pengeluaran teknologi berkuasa rendah di negeri ini.
Kampus seluas kira-kira 220,000 kaki persegi itu dijangka menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran tahunan sehingga sekitar 1.6 bilion unit, di samping menyediakan peluang kepada generasi baharu untuk menceburi bidang tersebut.
Kemudahan berkenaan turut menggabungkan operasi pembuatan, kejuruteraan dan penyelidikan AI di satu lokasi bersepadu yang boleh menempatkan sehingga 800 tenaga kerja tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Syntiant Corp., Kurt Busch berkata, pemilihan Pulau Pinang dibuat berikutan kedudukan negeri itu yang strategik dalam memperkukuh kepakaran inovasi elektronik canggih, selain menyokong pertumbuhan ekosistem teknologi negara.
Jelasnya, kampus pengeluaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu ini turut menjadi penanda aras penting perkembangan syarikat itu di Asia, dengan nilai pelaburan mencecah AS$15 juta.
“Syntiant membawa keupayaan teras syarikat dalam membangunkan penyelesaian teknologi yang lebih pantas, selamat serta cekap tenaga untuk memenuhi keperluan pasaran pengguna, industri dan perusahaan.
“Kampus baharu ini dilengkapi keupayaan memproses sistem mikro-elektro-mekanikal, penyediaan litar bersepadu serta aktiviti ujian dan pemasangan.
“Kombinasi teknologi pengeluaran bertaraf dunia bersama penyelidikan AI yang canggih membolehkan kami terus memacu inovasi serta memberikan nilai tambah kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kampus Pembuatan dan R&D baharu Syntiant di Perai di sini, hari ini yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo.
Sementara itu, Pengurus Besar Syntiant Malaysia, Ong Lay Pean berkata, pelaburan yang dilaksanakan di negeri ini mencerminkan keyakinan syarikat terhadap keupayaan tenaga kerja tempatan serta sokongan ekosistem inovasi sedia ada.
“Kemudahan baharu itu membolehkan penyelidikan moden diterjemahkan kepada penyelesaian dunia sebenar yang memberi manfaat kepada pengguna dan industri di peringkat global.
“Dengan sokongan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPenang, Syntiant memilih Pulau Pinang sebagai lokasi ideal untuk mengembangkan keupayaan pengeluaran dan R&D kami,” katanya.
Untuk rekod, Syntiant membangunkan penyelesaian AI berkuasa rendah yang menggabungkan sensor, pemproses keputusan neural serta perisian bagi aplikasi Internet Pelbagai Benda, automotif pengguna dan perindustrian, dengan lebih 20 bilion mikrofon MEMS terjual di seluruh dunia setakat ini. – MalaysiaGazette















