KUALA LUMPUR – Penubuhan Persatuan Agensi Pemulihan Kredit Malaysia (AMCRA) dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkemaskan industri pemulihan kredit negara, khususnya dalam memastikan amalan kutipan hutang dijalankan secara beretika dan terkawal.
Presiden AMCRA, Rohan Jayaratnam berkata, kewujudan persatuan itu penting bagi menyatukan pemain industri di bawah satu platform yang jelas, selain menjadi saluran rasmi interaksi antara agensi pemulihan kredit, pemiutang dan peminjam.
Menurutnya, industri berkenaan sebelum ini beroperasi dengan pendekatan dan standard tidak seragam yang menimbulkan pelbagai persepsi negatif serta aduan daripada orang ramai.
“AMCRA diwujudkan bagi menggalakkan amalan profesional, beretika dan bertanggungjawab, di samping memastikan hak semua pihak termasuk peminjam terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025, yang menetapkan hanya agensi berlesen dan berdaftar dibenarkan menjalankan aktiviti pemulihan hutang.
Akta itu turut memperuntukkan larangan terhadap sebarang bentuk ugutan, gangguan atau perlakuan tidak berperikemanusiaan ke atas peminjam, selain mewujudkan mekanisme pemantauan yang lebih ketat terhadap industri berkenaan.
Rohan berkata, AMCRA menyokong sepenuhnya rangka kerja perundangan baharu itu dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar di peringkat industri.
“Persatuan ini bukan bertujuan melindungi pemain yang melanggar undang-undang, sebaliknya membantu memastikan ahli mematuhi piawaian yang ditetapkan serta memahami keperluan undang-undang dengan lebih jelas,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden AMCRA, Datuk Mohd Shahrom berkata, industri pemulihan kredit memainkan peranan penting dalam ekosistem kewangan negara dan menyumbang kepada kestabilan sistem kredit secara keseluruhan.
Beliau berkata, pendekatan kawal selia yang lebih jelas bukan sahaja meningkatkan tahap profesionalisme industri, malah membantu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap proses kutipan hutang.
“Apabila terdapat garis panduan yang jelas, ia memberi perlindungan kepada peminjam dan pada masa sama memastikan pemiutang mempunyai saluran sah untuk menuntut pembayaran,” jelasnya lagi.
Menurut Shahrom, AMCRA juga berhasrat membangunkan kod etika dan latihan berstruktur bagi ahli-ahlinya, selaras dengan kehendak perundangan dan amalan terbaik antarabangsa.
AMCRA dijangka dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat dan akan berfungsi sebagai badan rujukan industri dalam isu berkaitan pemulihan kredit, tadbir urus serta perlindungan pengguna. -MalaysiaGazette















