Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar selepas hadir pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening, Semenyih. Foto MOHD ADZLAN, 27 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Penantian panjang warga Semenyih yang sekian lama terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akhirnya menemui titik noktah apabila projek Jalan Pintas Sungai Lalang dilancarkan membuka laluan baharu yang dijangka merungkai masalah trafik kronik di kawasan itu.

Pengerusi KHK Land, Datuk Zainol Abidin Mohamed yang terlibat dalam projek itu berkata, pelaksanaan projek berkenaan membawa kelegaan besar kepada penduduk yang terpaksa berdepan kesesakan hampir setiap hari khususnya pada waktu puncak.

Menurutnya, pembinaan jalan pintas itu bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya penyelesaian konkrit kepada keluhan rakyat yang telah berlarutan sejak puluhan tahun.

“Warga Semenyih sudah lama menunggu penyelesaian kepada masalah kesesakan ini. Dengan pelaksanaan projek ini, penantian mereka akhirnya berakhir,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening, Semenyih. Foto MOHD ADZLAN, 27 JANUARI 2026.

Untuk makluman, Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Mukim Semenyih itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menandakan permulaan rasmi kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi berkenaan.

Zainol berkata, projek itu merangkumi pembinaan Jalan Pintas Sungai Lalang sepanjang 4.3 kilometer yang menghubungkan Sungai Lalang dengan Lebuhraya SILK, selain pembangunan Tapak Perkuburan Awam Persekutuan (Islam) bagi menampung keperluan umat Islam di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Jelasnya, cadangan projek berkenaan sebenarnya telah dikemukakan sejak 2016 namun hanya berjaya dimuktamadkan dan direalisasikan selepas melalui pelbagai peringkat perbincangan, penyelarasan dan kelulusan di peringkat Persekutuan serta negeri.

“Projek ini memerlukan kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan. Ia mengambil masa, namun akhirnya dapat direalisasikan apabila semua pihak bersetuju untuk bergerak seiring demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Menurut Zainol, pihaknya memberi komitmen penuh untuk memastikan projek itu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu dalam tempoh tiga tahun bagi pembinaan Jalan Pintas Sungai Lalang dan dua tahun bagi pembangunan Tapak Perkuburan Awam Persekutuan.

Beliau berkata, apabila siap sepenuhnya kelak, jalan pintas itu dijangka menamatkan kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu penduduk Semenyih dan Hulu Langat memendekkan masa perjalanan harian serta mengurangkan tekanan pengguna jalan raya.

“Kesesakan lalu lintas bukan sekadar isu perjalanan tetapi memberi kesan kepada kualiti hidup, kesihatan mental dan masa bersama keluarga. Projek ini akan memberi perubahan ketara kepada kehidupan harian penduduk,” katanya.

Selain pembinaan jalan pintas, Zainol berkata, pembangunan Tapak Perkuburan Awam Persekutuan (Islam) turut melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan sokongan termasuk surau, pejabat pentadbiran, kuarters, bilik mesyuarat dan kafeteria.

Menurutnya, tapak perkuburan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan berfungsi sebagai penyelesaian jangka panjang kepada keperluan pengebumian umat Islam di kawasan bandar yang semakin terhad.

Beliau berkata, pembangunan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memenuhi keperluan asas rakyat bukan sahaja dari sudut infrastruktur pengangkutan malah kemudahan sosial dan keagamaan.

Dalam pada itu, kata Zainol, pihaknya akan memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat, khususnya warga Semenyih yang telah lama menantikan perubahan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada tanah rizab Melayu tergadai dalam projek Jalan Pintas Sungai Lalang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast