Steven Sim

GEORGE TOWN – Kerajaan meningkatkan peruntukan Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) daripada RM30 juta kepada RM50 juta tahun ini sebagai langkah memperkukuh ekosistem perniagaan komuniti berkenaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, penambahan dana itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses pembiayaan kepada usahawan, selaras pelaksanaan strategi ABCD yang digariskan kementeriannya.

“Setakat tahun 2026, SPUMI telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM4.089 juta kepada 136 usahawan masyarakat India di seluruh negara.

“Melalui inisiatif ini, KUSKOP komited dalam memberi capaian modal selari dengan strategi ABCD yang diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan media.

Steven berkata, strategi ABCD yang diperkenalkan merangkumi empat teras utama iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal serta Daya Akses Pasaran bagi memperkukuh daya saing perniagaan tempatan menjelang 2026 dan seterusnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 200 sukarelawan Wira KUSKOP akan digerakkan di Georgetown sempena Program KUSKOP MADANI sempena sambutan Thaipusam pada 1 Februari ini.

Katanya, pasukan sukarelawan terdiri daripada belia pelbagai kaum berusia antara 17 hingga 30 tahun itu akan membantu pengurusan orang ramai serta memberi bantuan kepada warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) sepanjang sambutan berlangsung.

“Selain khidmat sukarelawan, kementerian turut menyediakan kemudahan ruang rehat percuma di khemah utama KUSKOP MADANI yang mampu menampung sehingga 200 orang pada satu-satu masa.

“Ruang rehat ini dikhususkan kepada petugas barisan hadapan, warga emas, ibu, kanak-kanak, OKU serta penganut yang keletihan atau kurang sihat,” katanya.

Steven berkata, sebanyak sembilan agensi di bawah kementerian termasuk TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat dan SME Corp Malaysia turut terlibat dengan membuka reruai perkhidmatan bagi menawarkan khidmat nasihat, latihan, bimbingan keusahawanan serta pendaftaran usahawan kepada pengunjung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast