Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Seputeh berpendirian pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan tindakan politik yang berisiko merugikan rakyat kerana pelaksanaannya menuntut peruntukan dana yang besar.

Ketuanya, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, dana itu seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh perkhidmatan asas seperti kebersihan bandar, pengangkutan awam, penyelenggaraan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Mengalihkan sumber awam kepada proses politik tambahan bukanlah satu keutamaan yang rasional dalam keadaan ekonomi dan fiskal semasa.

“Lebih membimbangkan, kuasa terhadap pembangunan bandar dan pengurusan hasil cukai dikhuatiri akan terdedah kepada salah guna kuasa serta konflik kepentingan,” ujarnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, BN kekal konsisten menolak sebarang bentuk penjajahan politik strategik yang berpotensi mengancam keharmonian masyarakat dan kestabilan negara termasuk usaha memperkenalkan agenda politik melalui pintu pentadbiran tempatan.

Mohd. Razlan mengulas laporan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP, memaklumkan kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT.

Kajian dijalankan sejak Disember tahun lalu selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.

Mohd. Razlan selanjutnya berkata, mengambil contoh bandar raya seperti Kuala Lumpur, ibu negara membangun dengan pesat dan terancang seiring dengan bandar utama dunia tanpa memerlukan pilihan raya PBT.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, model pentadbiran sedia ada telah terbukti mampu memastikan kestabilan, kesinambungan dasar dan kecekapan pelaksanaan.

“Oleh itu, tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi lapisan kuasa politik yang bukan sahaja berisiko menimbulkan pertindihan bidang kuasa malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan dalam sistem pentadbiran sedia ada.

“Lebih serius, agenda ini berpotensi membuktikan bahawa kaum Melayu akan terpinggir dan diketepikan khususnya di kawasan bandar,” katanya lagi.

Mohd Razlan berpandangan, struktur demografi dan realiti politik semasa menunjukkan bahawa pilihan raya PBT boleh membuka ruang kepada dominasi satu pihak sekali gus menafikan prinsip keadilan sosial dan keseimbangan antara kaum.

“Kebimbangan ini bukan bersifat spekulatif, sebaliknya berpaksikan analisis realistik terhadap landskap politik semasa.

“Jika dibiarkan, ia berisiko menghakis peranan masyarakat Melayu dalam menentukan hala tuju pembangunan bandar serta pengagihan sumber secara adil dan inklusif,” katanya.

Beliau selanjutnya menyatakan, kerajaan yang mentadbir sekarang bukan milik mana-mana parti tunggal. Ia sebuah kerajaan campuran dan Barisan Nasional (BN) sebahagian daripadanya.

“Bukan hari ini dan bukan di bawah kerajaan campuran yang menjunjung kestabilan, keseimbangan dan kepentingan semua kaum,” katanya.

“Selagi BN berada dalam kerajaan, agenda pilihan raya PBT tidak akan dibenarkan untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, DAP perlu menerima hakikat berkenaan dan melupakan hasrat terbabit buat masa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast