JOHOR BAHRU – Satu masa dahulu, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Mama Rina hidup dalam dunia bermergelapan dan pujian.
Namun Mama Rina atau nama sebenarnya Hairini Abdul Halim, 63, semua itu sudah berlalu dan menjadi kenangan manis dalam hidupnya apatah lagi selepas tidak aktif lagi dalam bidang seni.
Menjelang Ramadan yang berbaki lebih seminggu lagi, biasanya Mama Rina tidak menang tangan kerana menghasilkan kuih raya untuk pelanggannya bertujuan menampung kehidupan.
Namun kali ini pastinya berbeza apabila tidak lagi mampu menghasilkan kuih raya sejak kaki kanannya dipotong hingga paras lutut hujung tahun lalu.
Pergerakannya kini terbatas dan hanya bergantung kepada kerusi roda.
“Ramadan sebelum ini, saya memang tak duduk diam. Dekat-dekat puasa saya akan mula ambil tempahan kuih tradisional. Kuih-kuih itu saya bawa sekali kalau pergi busking.
“Tapi kali ini memang tak dapat buat. Nak buat kuih kena berdiri lama atau sekurang-kurangnya bergerak aktif. Sekarang saya kena duduk sahaja, banyak kekangan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah arwah bapanya di Taman Intan, Ulu Tiram hari ini.
Mama Rina berkata, segalanya bermula apabila dia terjatuh dan terseliuh di hadapan rumah tahun lalu sehingga menyebabkan kakinya bengkak selama dua hari seterusnya tidak pulih berbulan bulan.
“Saya memang ada sakit kencing manis tapi tak sangka jadi seteruk ini. Awalnya saya dapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini kemudian doktor di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) nasihatkan supaya kaki dipotong demi elak jangkitan lebih teruk,” katanya.
Katanya, walaupun kehilangan sebelah kaki, semangatnya untuk terus hidup tidak pernah luntur.
“Nak kata okay memang tak okay tapi kena kuat semangat. Hidup kena teruskan. Kalau nak baring dalam bilik bersedih, sampai bila orang nak hulur bantuan?
“Saya memang tak boleh duduk diam. Mana boleh berhenti menyanyi tetapi buat masa ini terpaksa duduk rumah sebab tak boleh bawa kereta, apa-apa harapkan adik yang bawa,” katanya yang sebelum ini aktif melakukan persembahan busking di Pasar Borong Pandan di sini.
Menurutnya, buat masa ini, beliau hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.
“Saya harap dapat teruskan kehidupan seperti biasa. Saya tak mahu tadah tangan. Cuma memang perlukan kaki palsu untuk bergerak semula,” katanya.
Terdahulu, Mama Rina dikunjungi Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan Pengerusi Karyawan yang juga penyanyi legenda, Datuk Khatijah Ibrahim untuk menyerahkan sumbangan wang tunai di kediamannya.
Khatijah berkata, Karyawan tidak pernah meminggirkan kebajikan ahli khususnya dalam melibatkan kesihatan serius.
Ujarnya, bagi kes Mama Rina, Karyawan sedang mengusahakan bantuan mendapatkan kaki palsu agar penyanyi itu boleh kembali bergerak dan berdikari serta bernyanyi semula.- MalaysiaGazette
















