KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal untuk dua tahun berturut-turut, mencatat 3.7% pada tahun 2025 (2024:4.1%) berbanding unjuran awal 3.8%.
Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi 6.3% pada suku keempat, tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awal, meskipun berdepan persekitaran global yang tidak menentu
Momentum ini mendorong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2025 kepada 5.2% (2024: 5.1%) dan melangkaui unjuran rasmi kerajaan antara 4% hingga 4.8%.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, indikator makroekonomi yang kukuh turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dengan pencapaian kadar pengangguran terendah (2.9%) dalam tempoh lebih sedekad serta kadar inflasi yang rendah pada tahun 2025 pada 1.4% (2024: 1.8%).
Menurut beliau, penjimatan daripada reformasi fiskal dapat diperuntukkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), di samping komitmen berterusan kerajaan
terhadap projek infrastruktur awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, semakin ketara bahawa penyampaian yang jelas bagi rangka kerja dasar, seperti yang digariskan di bawah Ekonomi Madani, diikuti dengan pelaksanaan berterusan pembaharuan yang
sukar, telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Ini dicerminkan dalam pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung dan pencapaian paras tertinggi FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh tujuh tahun,” tambah Anwar.
“Walaupun Kerajaan Madani mengiktiraf kemajuan yang dicapai setakat ini, kita tidak boleh leka – bukan hanya ketika mendepani rintangan global dan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing yang terus mempengaruhi kehidupan kita,” ujarnya.
Oleh itu, adalah penting untuk sentiasa kekal dalam landasan pembaharuan Ekonomi Madani, sekali gus menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memperteguh tekad menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah lebih tinggi, membasmi rasuah, meningkatkan kemaslahatan hidup rakyat dan menambah baik mudah cara dalam menjalankan perniagaan, ujar beliau.
Mengulas lanjut, perdana menteri menjangkakan ekonomi kekal pada trajektori yang stabil pada tahun ini disokong oleh
permintaan domestik yang berdaya tahan, penggunaan isi rumah yang kukuh dan momentum pelaburan yang berterusan.
Jelasnya, aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna.
Katanya, Belanjawan 2026 akan meletakkan asas kepada Rancangan Malaysia Ke-13 2026–2030, di samping dasar utama lain bagi menggalakkan pengembangan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Pada masa yang sama, ujar Anwar, Kerajaan Madani akan terus berpegang teguh kepada disiplin fiskal dalam melindungi kemampanan jangka masa panjang tatkala menyokong momentum pertumbuhan. – MalaysiaGazette















