JOHOR BAHRU – “Bila dapat baju baharu ini saya rasa sangat seronok kerana saya suka pakai baju cantik-cantik, tahun ini saya dapat pakai baju baharu, warna kegemaran saya.”
Demikian luahan Nur Sharina Aleesya Mohd Faiz ,16, apabila tahun ini dia dan adiknya, Nur Shaqeena Adelia, 10, berpeluang mendapat baju raya.
Dua beradik itu yang tinggal di Taman Desa Belantik di sini, teruja apabila tahun ini dapat mengenakan busana baju raya yang baharu berbeza tahun-tahun sebelum ini.
Menurut Nur Sharina Aleesya, setiap kali Hari Raya Aidilfitri sebelum ini, tiada istilah baju raya baharu dalam kamus hidup mereka dan sudah lali dengan keadaan itu.
Sebaliknya, kedua-dua beradik itu hanya ‘mengitar semula’ dan berkongsi pakaian raya sedia ada kerana ibu bapa mereka tidak mampu menyediakan baju baharu berkenaan disebabkan kesempitan hidup.
“Di rumah kami hanya ada tiga atau empat helai tudung yang perlu dikongsi bersama-sama, manakala baju juga tidak banyak dan sering dipakai bersama-sama ahli keluarga lain.
“Tetapi tahun ini berbeza pula,” ujar Nur Sharina Aleesya gembira campur sebak ketika ditemui pada pelancaran program Projek Baju Raya Terpakai di Pusat Nadi Taman Desa Belantik di sini semalam.
Sempena program itu, kedua-dua beradik itu membawa pulang tiga set baju raya dan empat helai tudung termasuk sepasang baju Raya untuk ibu mereka.
Bagi seorang penyumbang, Hijarliza Ithnin berkata, dia yang merupakan guru sambilan dan juga petugas di Pusat Nadi berkenaan turut memahami keperluan B40 terutama menjelangnya perayaan.
“Saya juga seorang penduduk di PPR dan saya memahami kebanyakan daripada penduduk di sini kurang berkemampuan, sebab itu saya tampil untuk menyumbang baju raya saya untuk berkongsi kebahagian ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata, program yang julung kali diadakan itu merupakan inisiatif Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, DUN Skudai, DUN Perling, DUN Johor Jaya dan Parlimen Iskandar Puteri.
“Projek Baju Raya Terpakai yang julung kali diadakan ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pakaian perayaan secara percuma dalam suasana dan konsep seperti membeli-belah di butik.
“Saya menyifatkan aktiviti seperti ini adalah aktiviti untuk berkongsi kebahagian terutamanya dalam suasana Hari Raya bukan sahaja kepada penerima tetapi juga kepada kami sebagai pengumpul dan menjalankan projek ini.
“Konsep ‘kedai’ ini memberi peluang kepeada penerima agar dapat memilih sendiri baju raya yang disusun kemas, bersih dan kelihatan seperti baharu,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang ingin menyumbangkan dan mendapatkan pakaian raya terpakai itu boleh hadir ke Pusat Nadi DUN terlibat 23 sehingga 17 Februari ini.- MalaysiaGazette
.
















