Lebih 100 masyarakat Cina dari Sarawak di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru menerima sumbangan hari ini

JOHOR BAHRU – Lebih 100 masyarakat Cina dari Sarawak terutama yang menetap di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini menyambut Tahun Baharu Cina dalam keadaan sedih dan gembira.

Ia kerana mereka merupakan golongan B40 tidak pulang menyambut menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama ahli keluarga dan saudara mara di Sarawak.

Bagaimanapun rasa rindu itu sedikit terubat apabila mereka dianggap sebagai ahli keluarga di sini apabila ada pihak menghulurkan sumbangan.

Anak perantau termasuk berdarah campuran Cina-Iban itu menerima sumbangan makanan dan wang tunai dalam program anjuran Persatuan Foodbank Jishan.

Kesemua penerima merupakan penduduk Rumah Pangsa 68 dan 18 di pekarangan taman berkenaan hari ini.

Tinjauan mendapati, walaupun berjauhan dari keluarga di kampung halaman, bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak menceriakan sambutan mereka.

Selain makanan ringan dan barangan keperluan harian, penerima turut menerima ang pau sebagai simbolik perayaan.

Wakil penganjur Foodbank Jishan, Muni Micheal berkata, persatuan itu mula aktif membantu rakyat Sarawak di Johor sejak 2021 ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

“Sejak 2021, kami konsisten membantu rakyat Sarawak yang memerlukan. Setiap bulan kami adakan penyerahan bantuan secara berkala.

“Sementara agihan secara besar-besaran dibuat ketika musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan Hari Natal,” katanya ketika ditemui.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan penerima, malah memberi sokongan moral agar mereka tetap merasai kemeriahan perayaan walaupun dalam serba kekurangan.

Bagi penerima, Entie Banying dan Mithew Albert Alan, bantuan itu amat bermakna.

“Kami rasa sangat bersyukur. Bantuan ini membantu kami menyediakan sedikit juadah dan menyambut Tahun Baharu Cina dengan lebih ceria walaupun tidak dapat pulang ke Sarawak,” ujar mereka.

Program berkenaan ujarnya, mencerminkan nilai perpaduan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk.

Katanya, ia membuktikan di sebalik kesedihan hidup berjauhan dari keluarga, masih ada sinar kegembiraan hasil keprihatinan masyarakat setempat.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast