Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) Malaysia menurun daripada 0.0037 pada tahun 2022 kepada 0.0025 pada tahun 2024, menandakan penambahbaikan berterusan dalam kesejahteraan pelbagai dimensi secara keseluruhan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan MPI mencerminkan penambahbaikan yang menyeluruh merentasi dimensi bukan kewangan bagi Malaysia.

Nilai indeks yang lebih rendah menunjukkan kemiskinan pelbagai dimensi menjadi kurang ketara, disokong oleh pengurangan pertindihan ketersisihan yang dialami oleh isi rumah.

Melihat kepada jurang bandar-luar bandar di Malaysia, kemiskinan pelbagai dimensi di kawasan bandar kekal rendah, dengan MPI direkodkan pada 0.0001 pada kedua-dua tahun 2022 dan 2024.

Sebagai perbandingan, kawasan luar bandar terus mengalami tahap kemiskinan pelbagai dimensi yang lebih tinggi, walaupun berlakunya penambahbaikan MPI luar bandar menurun daripada 0.0164 pada tahun 2022 kepada 0.0109 pada tahun 2024.

Menurutnya, jurang yang berterusan antara nilai MPI bandar dan luar bandar ini menekankan kemiskinan pelbagai dimensi masih tertumpu di komuniti luar bandar.

Dari perspektif dimensi pendidikan, ketersisihan berkaitan dengan tahun persekolahan menunjukkan penambahbaikan yang ketara, menurun daripada 0.0003 pada tahun 2022 kepada 0.0001 pada tahun 2024, menunjukkan isi rumah miskin yang menghadapi kekangan dalam tahun persekolahan semakin berkurang.

Untuk indikator kehadiran di sekolah, tahapnya kekal stabil pada 0.0001 dalam kedua-dua tahun, mencerminkan penurunan keseluruhan ketersisihan dimensi pendidikan dalam MPI.

Indikator ini juga menunjukkan akses kepada pendidikan terus dapat dipelihara secara meluas.

Mohd Uzir menambah, secara keseluruhan, dimensi pendidikan mencatatkan kemajuan yang berterusan sepanjang tempoh ini.

Melihat kepada ketersisihan berkaitan kesihatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan terus menunjukkan penambahbaikan, menurun daripada 0.0013 pada tahun 2022 kepada 0.0009 pada tahun 2024.

Akses kepada bekalan air bersih juga menunjukkan kemajuan, menurun daripada 0.0014 kepada 0.0010 dalam tempoh yang sama.

“Walaupun terdapat penambahbaikan ini, kedua-dua indikator tersebut kekal sebagai komponen utama dalam profil kemiskinan pelbagai dimensi Malaysia, mencerminkan cabaran berterusan dalam dimensi kesihatan.

“Secara keseluruhan, indikator-indikator ini kekal menjadi penyumbang utama kepada MPI nasional, menekankan kepentingan usaha berterusan
untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan akses kepada air bersih bagi pengurangan kemiskinan pelbagai dimensi yang lebih signifikan,” ujar beliau.

Katanya, bagi dimensi taraf hidup, kebanyakan indikator mencatatkan trend yang stabil atau menunjukkan penambahbaikan.

Keadaan kediaman dan kepadatan bilik kekal pada 0.0001, manakala ketersisihan berkaitan sanitasi, penggunaan pengangkutan, dan akses
kepada peralatan komunikasi asas terus berada pada 0.0000, mencerminkan pengaruh yang minimum terhadap MPI.

Akses kepada perkhidmatan kutipan sampah menunjukkan peningkatan daripada 0.0004 pada tahun 2022 kepada 0.0003 pada tahun 2024, walaupun
ia kekal sebagai komponen penting dalam dimensi taraf hidup.

Secara keseluruhan, dimensi taraf hidup mencerminkan kemajuan secara berperingkat, dengan kebanyakan ketersisihan sama ada kekal stabil atau bertambah baik sepanjang tempoh ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast