Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir diiringi Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika perasmian Majlis Peluncuran Banci Ekonomi 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 FEBRUARI 2026

PUTRAJAYA –  Banci Ekonomi (BE) 2026 penting dalam mengenal pasti kemunculan industri dan produk baharu selari dengan perubahan struktur ekonomi akibat teknologi, pendigitalan dan keperluan pasaran global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, banci itu bukan sekadar hanya mencatat ekonomi sedia ada tetapi memetakan ekonomi yang sedang dilakarkan.

Menurutnya, ia menjadi penanda aras baharu statistik ekonomi negara yang lebih terperinci dan menjadi rujukan utama dalam memahami sektor baharu seperti industri pusat data yang semakin berkembang.

“Pelaksanaan BE 2026 merupakan projek nasional yang berupaya mentransformasikan sistem data ekonomi Malaysia ke arah lebih holistik, bersepadu dan berdaya saing.

“Antara objektif BE 2026 ialah memperoleh maklumat komprehensif merangkumi kesemua sektor ekonomi negara, termasuk pertumbuhan ekonomi, sumbangan sektor, taburan output, nilai tambah, guna tenaga serta profil ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran BE 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Sejak pelaksanaan pada tahun 2001, BE menjadi instrumen penting pembinaan statistik ekonomi negara.

Bagi tahun rujukan 2025, BE 2026 merupakan edisi keenam meliputi lima sektor utama iaitu pertanian, pembinaan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap pada Majlis Peluncuran Banci Ekonomi 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 FEBRUARI 2026

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah memberitahu, dalam dunia hari ini, angka yang baik sahaja tidak memadai.

Ini kerana katanya, negara sedang bergerak dalam lanskap global yang semakin kompleks dan dinamik, ketidaktentuan geopolitik, penstrukturan semula rantaian bekalan, tekanan inflasi, pendigitalan yang pesat dan peralihan ke arah ekonomi masa hadapan.

Menurut beliau, sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia turut terkesan oleh perubahan dan perkembangan global ini.

“Maka, ketersediaan data ekonomi yang tepat, menyeluruh dan bertepatan masa menjadi elemen penting dasar berasaskan bukti, perancangan yang strategik dan penilaian keberkesanan intervensi kerajaan.

“Statistik bukan sekadar angka, ia adalah kompas strategik negara. Kompas inilah yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi kita yang inklusif, berdaya tahan dan mampan, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Negara yang kuat bukan hanya ada visi, tetapi ada data yang tepat untuk menjadikan visi itu nyata,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir diiringi Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin hadir ke Majlis Peluncuran Banci Ekonomi 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 FEBRUARI 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast