KUALA LUMPUR – Permohonan maaf semata-mata daripada pelajar yang bertindak memijak al-Quran adalah tidak memadai dan jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya mesti diambil mengikut lunas undang-undang tanpa kompromi agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, tindakan penuntut itu adalah amat melampau, tidak bertanggungjawab dan menyentuh sensitiviti umat Islam serta keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
“Al-Quran bukan sekadar sebuah kitab, tetapi merupakan pegangan suci dan panduan hidup umat Islam yang wajib dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Menurutnya, dalam sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta menjunjung prinsip Rukun Negara, kebebasan bersuara tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk menghina agama dan kepercayaan mana-mana kaum.
Tegas beliau, perbuatan seumpama itu berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan menggugat perpaduan yang telah lama dibina bersama oleh rakyat pelbagai kaum.
Sehubungan itu, institusi pendidikan perlu memperkukuhkan pendidikan nilai, adab serta kefahaman antara agama dalam kalangan pelajar bagi memastikan insiden pelajar yang menyentuh perkara sensitif mengenai agama seperti memuat naik gambar al-Quran dipijak tidak berulang.
Menurut Ahli Parlimen Hulu Selangor berkenaan, universiti bukan sekadar tempat menuntut ilmu akademik, tetapi medan membina sahsiah dan jati diri generasi masa hadapan.
“Kita tidak boleh membiarkan penghinaan terhadap agama menjadi perkara biasa dalam masyarakat.
“Ketegasan hari ini adalah benteng kepada keharmonian negara pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau turut menggesa siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tegas oleh pihak berkuasa berhubung insiden menghina agama Islam melibatkan pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). – MalaysiaGazette
















