KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menegaskan, beliau tidak menerima satu sen pun daripada wang pembelian tiket penerbangan yang menjadi pertikaian dalam kes saman oleh sebuah syarikat pelancongan terhadapnya dan dua yang lain.
Ketua UMNO Bahagian Kangar itu menjelaskan, wang yang merupakan hasil kutipan daripada jemaah umrah, bukan miliknya mahupun berada dalam kawalan atau digunakan untuk manfaat peribadi.
Beliau terpanggil memberi penjelasan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir dalam kalangan masyarakat lantaran namanya menjadi tajuk utama laporan media semalam.
“Saya memahami sensitiviti isu ini dan kesan persepsi yang mungkin timbul, namun saya berharap masyarakat dapat melihat isu ini dalam konteks yang sebenar.
“Ia melibatkan pertikaian komersial antara dua syarikat dalam keadaan luar jangka pandemik, bukannya isu melibatkan jemaah atau penyalahgunaan dana peribadi.
“Saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan tidak akan mengulas terperinci mengenai dapatannya, perkara ini dalam proses rayuan dan saya menyerahkan kepada peguam untuk tindakan sewajarnya,” ujar beliau dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Fathul Bari memberi penjelasan berhubung laporan media semalam yang menyatakan, beliau dan dua yang lain diperintah Mahkamah Tinggi membayar balik kira-kira RM500,000 kepada KRS Travel Sdn. Bhd. yang menyamannya.
Hakim Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas menolak rayuan beliau dan Sekh Fazzli Sekh Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff yang merupakan pengarah dan pemegang saham Rehla Travel Services Sdn. Bhd. (Rehla).
Ketiga-tiganya disaman bagi menuntut pembayaran balik wang kutipan tiket penerbangan sebanyak RM492,480 yang telah dijelaskan bagi urusan penerbangan jemaah umrah.
Dalam kenyataannya, Fathul Bari berkata, tiada jemaah yang menuntut daripada Rehla Travel atau pihaknya secara peribadi.
Oleh yang demikian, tiada isu pengabaian kebajikan jemaah dalam kes tersebut kerana tiada wang jemaah yang diambil untuk kegunaan peribadi.
Fathul Bari selanjutnya menjelaskan, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan pemegang saham minoriti dalam Rehla Travel manakala rakan kongsi selaku pemegang saham majoriti melabur sepenuhnya dalam syarikat tersebut.
“Peranan saya tertumpu kepada urusan jaringan serta hal ehwal berkaitan di Arab Saudi. Segala urusan berkaitan ticketing, kewangan dan operasi harian diurus sepenuhnya oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pihak pengurusan syarikat.
“Keputusan kewangan dan pembayaran dibuat di peringkat pengurusan berdasarkan kedudukan kewangan semasa serta pertimbangan para pelabur,” ujar beliau.
Jelas Fathul Bari, penting untuk difahami bahawa isu yang dibangkitkan bukan pertikaian antara Rehla Travel dengan jemaah haji atau umrah.
Sebaliknya, ia merupakan pertikaian di antara dua entiti perniagaan iaitu Rehla Travel yang diwakili oleh ahli lembaga pengarahnya dan KRS dalam konteks hubungan kontrak komersial.
Katanya, pertikaian timbul akibat kesan luar jangka pandemik serta ketidakcukupan pemulangan dana dalam rantaian kontrak, bukan isu antara Rehla Travel dengan jemaah haji atau umrah. – MalaysiaGazette
Tiket penerbangan umrah: Fathul Bari, dua yang lain diperintah bayar balik RM492,480















