KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP yang juga Exco Selangor, V Papparaidu mempersoalkan pihak yang didakwa membiayai dan menggerakkan provokasi berhubung isu ladang babi serta kuil Hindu yang kini semakin hari semakin tegang.
Beliau berkata, kemunculan isu berunsur kaum dan agama secara berterusan menimbulkan tanda tanya sama ada ia sebahagian daripada percaturan politik selepas kegagalan beberapa gerakan sebelum ini untuk menjatuhkan kerajaan.
“Apabila cubaan seperti ‘Turun Anwar’ dan ‘Langkah Bangkok’ gagal, adakah isu kaum dan agama kini dijadikan senjata baharu? Ini kebetulan atau strategi terakhir untuk memecahbelahkan rakyat?,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.
Tegasnya, sehingga saat ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang menjalankan tanggungjawabnya mentadbir negara dan tidak pernah memberi ruang kepada mana-mana pihak bertindak di luar undang-undang.
“Perdana Menteri tidak pernah menyatakan sesiapa bebas melanggar undang-undang. Tiada siapa mengatasi undang-undang. Jadi siapa sebenarnya dalang di sebalik provokasi ini? Siapa yang membiayai kekecohan? Apa agenda sebenar mereka?,” soalnya.
Menurut beliau, permainan sentimen agama dan kaum bukan sahaja berbahaya, malah boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi jika dibiarkan berlarutan.
Dalam pada itu, Papparaidu mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan sejarah pengorbanan generasi masyarakat India terdahulu, khususnya masyarakat buruh estet yang dibawa ke tanah ini ketika era penjajahan termasuk di kawasan seperti Carry Island.
“Mereka datang bukan atas pilihan, tetapi kerana desakan hidup dan penjajahan. Ramai terkorban akibat malaria, batuk kering dan pelbagai penyakit lain. Keringat, darah dan nyawa merekalah yang menjadi asas kepada negara yang kita banggakan hari ini,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan mereka turut terserlah dalam perjuangan menentang penjajahan termasuk ketika Perang Dunia Kedua, merujuk kepada Memorial 9 September 1945 (Operasi Zipper) di Pantai Morib sebagai simbol pembebasan.
Katanya, suatu ketika dahulu masyarakat Hindu khususnya orang Tamil membentuk sebahagian besar tenaga kerja dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kerajaan, namun hakikat sejarah itu semakin terpinggir dalam naratif generasi muda.
“Apabila sejarah dilupakan, ketidakadilan mudah berulang,” tegasnya.
Papparaidu turut memberi amaran jika ketegangan kaum terus dimainkan, masyarakat bukan Melayu mungkin hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada, namun pada masa sama tidak akan menyokong blok pembangkang kerana memahami pendirian politik mereka.
“Yang paling berbahaya ialah apabila rakyat memilih untuk berputus asa dan memboikot pilihan raya. Jika itu berlaku, pihak lawan boleh menang dengan mudah,” katanya.
Beliau menegaskan masyarakat bukan Melayu bukan ‘pendatang’, sebaliknya rakyat Malaysia yang berakar umbi di bumi ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan perpecahan dan kekacauan.
“Negara ini milik kita bersama. Jangan biarkan emosi dan manipulasi menentukan masa depan negara,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















