KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menjelaskan mengapa beliau menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menjadi Perdana Menteri sedangkan dari awal sudah melihat kelemahan Presiden PKR berkenaan.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia disebabkan beliau percaya seseorang tidak boleh dihukum berdasarkan perasaan, atau selagi individu berkenaan belum mendapat kuasa.
“Kita boleh tegur, kita boleh beri pandangan, tapi untuk membuat penilaian yang muktamad, kita kena tunggu sampai perkara itu benar-benar berlaku,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan beberapa pihak berhubung mengapa beliau menyokong Anwar sehingga menjadi Perdana Menteri sedangkan dalam masa sama mendakwa sudah melihat kelemahan Anwar dari dulu.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi menambah, apabila Anwar sudah dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau masih cuba sedaya upaya menegur dari dalam.
Malah, katanya, selagi nasihat boleh diberi, keputusan boleh dipengaruhi dan kerajaan masih boleh dipertahankan di hadapan rakyat, teguran itu tetap diteruskan.
Namun, jelas beliau, apabila ketelusan mula hilang, teguran dijawab dengan defensif dan proses mula diputar untuk menghalalkan kehendak pihak yang berkuasa, beliau ketika itu tidak lagi boleh berdiam diri.
“Bukan saya tak nampak dari awal. Saya cuma memilih untuk berlaku adil, dan bercakap hanya selepas benda itu benar-benar berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette
















