Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mengemukakan rayuan terhadap jumlah ganti rugi RM50,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam ketika membenarkan saman fitnahnya terhadap Datuk Zuraida Kamaruddin dan dua yang lain.

Peguam mewakili Guan Eng, Datuk Sankara Nair dalam satu kenyataan hari ini berkata, rayuan anak guamnya khusus berkaitan jumlah ganti rugi sahaja.

Menurut beliau, Guan Eng hanya mengemukan rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi kerana tidak berpuas hati dengan jumlah kuantum yang disifatkan terlalu rendah.

Peguam Sankara Nair

Sankara berkata, anak guamnya berterima kasih dan menghargai keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan fitnah beliau yang mendapati defendan bertanggungjawab dan memberikan ganti rugi.

“Bagaimanapun, Guan Eng tidak berpuas hati dengan jumlah ganti rugi RM50,000 sebagai ganti rugi keseluruhan yang dianggap terlalu rendah dan tidak memadai berdasarkan keadaan kes itu.

“Oleh yang demikian, rayuan berkenaan bertujuan untuk menilai semula jumlah ganti rugi supaya ia mencerminkan dengan sewajarnya keseriusan serta perkadaran kenyataan fitnah dan kerosakan yang dialami terhadap reputasi anak guam kami,” katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman D.R. Shoba Rajah membenarkan saman difailkan bekas Menteri Kewangan itu selepas mendapati semua defendan gagal membuktikan pembelaan yang dikemukakan dalam kes berkenaan.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar ganti rugi RM50,000 dan kos sebanyak RM5,000 kepada Guan Eng selaku plaintif.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi bagi melarang ketiga-tiga defendan daripada terus menerbitkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Guan Eng.

Bekas Menteri Kabinet, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas Forum Bicara Bangsa Tanah Aku Dulu, Kini Ke Hadapan di Shah Alam Convention Centre, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 08 JULAI 2023. (GAMBAR FAIL)

Pada 7 Jun 2024, Guan Eng memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Zuraida, editor MalaysiaNow, Muhammad Abd Ar-Rahman Koya dan MNow Media Sdn Bhd sebagai defendan.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Guan Eng berkata Zuraida telah mengeluarkan kenyataan palsu terhadapnya berkaitan projek perumahan untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya, Selangor. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast