Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh membidas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil yang disifatkan individu yang sepatutnya menurunkan ego.

Jelasnya, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan penyertaan semula ke parti itu tanpa syarat, ia memperlihatkan jiwa besar Presiden UMNO berkenaan untuk menerima semula ahli yang dibuang dan digantung.

Sehubungan itu, menurut beliau, sekiranya ada pihak yang masih terus mencari kesalahan, maka perpecahan akan terus berlaku sampai bila-bila.

“Semua ada kesalahan masing-masing, kita ambil sebagai pengajaran dan kita kuatkan saf.

“Cukup-cukuplah kita berpecah. Penyatuan agama bangsa lebih utama dari kepentingan diri kita. Tepuk dada, tanyalah iman,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Isham dilaporkan meminta Ahmad Zahid menurunkan ego dengan berjumpa dan meminta maaf kepada pemimpin parti itu yang dipecat atau digantung sekiranya benar-benar ikhlas membuka semula pintu UMNO.

Menurut bekas Ketua Penerangan UMNO berkenaan, ia adalah perkara yang sepatutnya dilakukan berbanding meminta pemimpin terlibat `menghadapnya’ ketika beliau kini dilihat terdesak dan kecewa kerana UMNO kehilangan sokongan menjelang pilihan raya umum (PRU).

Isham mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang mana UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast