Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

CYBERJAYA – Golongan pendidik di negara ini disaran memanfaatkan laluan alternatif yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan tinggi bagi meningkatkan kelayakan akademik mereka, sejajar usaha memperkukuh kualiti pendidikan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, langkah itu dilihat signifikan memandangkan jumlah guru di Malaysia dianggarkan melebihi 400,000 orang, dengan sebahagian besar mereka memiliki kelayakan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.

Katanya, ramai dalam kalangan guru terbabit telah berkhidmat lebih satu hingga tiga dekad dalam bidang pendidikan, sekali gus memiliki pengalaman kerja yang luas dan bernilai untuk diiktiraf dalam sistem akademik.

Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

“Golongan pendidik digalak memanfaatkan laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q), yang memberi pengiktirafan terhadap pengalaman kerja bagi membolehkan individu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Melalui APEL.Q pengalaman kerja diambil kira sebagai sebahagian daripada syarat kemasukan ke program akademik.

“Sebagai contoh, individu yang mempunyai pengalaman kerja sekitar 10 tahun boleh melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, 15 tahun ke peringkat ijazah sarjana muda, 20 tahun ke peringkat sarjana dan 25 tahun ke peringkat doktor falsafah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pendekatan itu sekali gus membuka ruang kepada guru untuk meningkatkan kelayakan akademik mereka secara berperingkat sehingga ke peringkat doktor falsafah.

Beliau berkata, setakat ini, beberapa universiti di negara ini telah mula menawarkan program pengajian melalui laluan APEL, meliputi peringkat diploma sehingga doktor falsafah.

Selain itu, katanya, pendidik turut berpeluang memanfaatkan laluan alternatif lain seperti APEL bagi Tujuan Kemasukan (APEL.A), APEL bagi Tujuan Pemindahan Kredit (APEL.C) serta APEL bagi Mikro-Kelayakan(APEL.M), yang memberi fleksibiliti kepada individu untuk memperoleh pengiktirafan pengalaman kerja serta meningkatkan kelayakan akademik.

“Pada masa sama, universiti yang telah diberi kebenaran menawarkan program melalui laluan APEL digesa mengambil peluang memperluaskan penawaran program bagi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan guru di negara ini.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada golongan pendidik yang mempunyai pengalaman luas tetapi mungkin belum berkesempatan melanjutkan pengajian sebelum ini untuk meningkatkan kelayakan akademik mereka,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, pengalaman kerja yang diperoleh sepanjang perkhidmatan dalam bidang pendidikan merupakan aset penting yang wajar diiktiraf melalui mekanisme pendidikan tinggi yang lebih fleksibel.

“Melalui pendekatan APEL, pengalaman profesional yang dimiliki oleh para pendidik dapat diterjemahkan sebagai sebahagian daripada kelayakan akademik mereka, sekali gus membuka laluan untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Langkah ini bukan sahaja memperluas akses kepada pendidikan tinggi, malah turut mengiktiraf kepakaran dan pengalaman luas guru dalam membangunkan modal insan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast