KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long tampil mengeluarkan kenyataan selepas hampir enam bulan berdiam diri, susulan siasatan pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang dikaitkan dengan beliau.
Dalam kenyataan hari ini, Victor menjelaskan tindakannya bersuara didorong keadaan yang didakwa semakin meruncing, khususnya melibatkan pembekuan akaun bank yang memberi kesan kepada pelbagai pihak.
Menurutnya, beliau sebelum ini memilih untuk tidak mengulas secara terbuka, namun mendakwa situasi semasa telah menjejaskan bukan sahaja dirinya, malah rakan niaga, pelabur dan individu lain yang mempunyai kaitan dengannya.
Siasatan terhadap Victor dilaporkan bermula sekitar 14 Oktober 2025, apabila pihak berkuasa menjalankan tindakan di bawah AMLA, termasuk pembekuan akaun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kewangan.
Victor dalam kenyataannya memaklumkan bahawa beliau telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, termasuk kembali ke Kuala Lumpur pada 29 Disember 2025 untuk memberi keterangan sebelum ditahan reman selama beberapa hari bagi membantu siasatan.
Beliau kemudian dibenarkan meninggalkan negara dan mendakwa sentiasa bersedia untuk dihubungi bagi tujuan siasatan lanjut.
Bagaimanapun, setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi terperinci mengenai butiran penuh siasatan atau sebarang pertuduhan terhadap beliau.
Victor mendakwa tindakan berdiam diri sebelum ini tidak membantu meredakan keadaan, sebaliknya menyebabkan lebih ramai pihak terjejas.
Menurutnya, pembekuan akaun yang didakwa melibatkan lebih 500 akaun telah memberi kesan kepada individu dan syarikat yang mempunyai urusan perniagaan atau hubungan dengannya.
Beliau turut mendakwa situasi tersebut menimbulkan kesukaran besar kepada operasi perniagaan, termasuk pembayaran gaji, urusan kewangan harian serta akses kepada kemudahan perbankan.
Dalam masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi jangka panjang kepada reputasi kewangan individu dan syarikat yang terlibat.
Dalam kenyataan tersebut, Victor turut mengaitkan tindakan pembekuan akaun itu dengan kejatuhan beberapa kaunter saham tempatan sekitar Oktober tahun lalu, termasuk MMAG Holdings Bhd, NexG Bhd dan NexG Bina Bhd.
Beliau berpandangan sentimen pelabur terjejas susulan tindakan tersebut, namun dakwaan itu tidak disertakan dengan pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa atau pengawal selia.
Victor turut menyeru agar siasatan dijalankan secara telus dan adil, selain meminta pihak berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia meneliti sebarang ketidakaturan sekiranya wujud.
Pada masa sama, beliau menzahirkan permohonan maaf kepada rakan niaga, pelabur dan individu yang terkesan akibat situasi tersebut.
Turut disertakan bersama kenyataan tersebut senarai syarikat dan juga permohonan maaf beliau kepada pelbagai pihak termasuk keluarganya yang didakwa terjejas dalam siasatan tersebut. – MalaysiaGazette















