KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendedahkan nilai urus niaga perdagangan dan pembayaran pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dengan China, Thailand dan Indonesia dalam mata wang tempatan masing-masing mencecah RM82.1 bilion setakat November 2025.
Menurutnya, jumlah itu meningkat ketara berbanding hanya RM3.6 bilion yang direkodkan pada 2009.
Katanya, angka tersebut diperoleh menerusi jawapan bertulis Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi soalan yang dikemukakannya di Parlimen pada Mac 2026.
“Perkembangan ini menunjukkan peningkatan signifikan dalam penggunaan mata wang tempatan bagi perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.
”Ini mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan antarabangsa tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, pelaksanaan urus niaga di luar sistem SWIFT yang lebih mahal dan didominasi oleh Amerika Syarikat itu memberi manfaat besar kepada negara terlibat.
“Ia membolehkan Malaysia dan rakan dagangnya menikmati kos transaksi yang lebih rendah, selain meningkatkan kecekapan serta ketelusan dalam sistem pembayaran rentas sempadan,” ujar beliau.
Tambahnya, trend itu mencerminkan usaha berterusan negara-negara serantau dalam memperkukuh kerjasama kewangan serta mengembangkan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan antarabangsa. -MalaysiaGazette















