Gambar Arkib

KUALA LUMPUR Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard mencadangkan gaji serta elaun ahli Parlimen dan menteri dipotong sebagai langkah membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata, cadangan itu disuarakan susulan tindakan rasionalisasi subsidi yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Ahli Parlimen menerima elaun minyak sekitar RM1,500 sebulan, selain pelbagai imbuhan lain termasuk elaun jawatan dalam kerajaan, GLC dan agensi.

“Rakyat biasa terpaksa berdepan penarikan subsidi, tetapi pemimpin terus menikmati kemudahan dan elaun,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.

Badrul Hisham Shaharin.

Menurutnya, kerajaan wajar mempertimbangkan pemansuhan elaun minyak bagi ahli Parlimen serta pemotongan gaji khususnya melibatkan wakil rakyat kerajaan dan anggota pentadbiran.

Beliau turut mencadangkan supaya pencen melibatkan bekas menteri, timbalan menteri dan menteri besar dikaji semula.

Katanya, penjimatan daripada langkah tersebut boleh disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk subsidi keperluan asas.

“Menteri dan ahli Parlimen tidak sepatutnya menerima pelbagai bentuk bantuan dalam masa sama, termasuk insentif seperti BUDI dan elaun sedia ada.

“Pengorbanan perlu dilakukan secara menyeluruh, bukan hanya melibatkan rakyat,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberi perhatian terhadap cadangan tersebut dan mempertimbangkannya di peringkat kerajaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast