Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour Foto AIZAT ZAINAL, 24 MAC 2025.

KUALA LUMPUR –  Konflik berterusan di Asia Barat berpotensi menjejaskan harga tenaga dan komoditi global, manakala perkembangan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) boleh meningkatkan tekanan inflasi global serta mewujudkan risiko penurunan terhadap pertumbuhan ekonomi dunia.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, senario itu berkemungkinan merumitkan prospek dasar monetari ekonomi utama kerana sebarang perubahan mendadak dalam jangkaan pasaran terhadap hala tuju dasar monetari AS boleh mencetuskan episod penghindaran risiko yang ketara merentas pasaran kewangan global.

“Asas ekonomi Malaysia yang kukuh, dipacu oleh pembaharuan struktur dalam negeri, dijangka terus menyokong sentimen pasaran domestik walaupun persekitaran global kekal sangat tidak menentu.

“Sektor perbankan yang berpermodalan kukuh, pasaran kewangan yang mendalam dan mudah cair, serta asas pelabur yang pelbagai akan terus menyokong kelancaran fungsi dan daya tahan pasaran kewangan domestik.

“Bagaimanapun, pasaran kewangan Malaysia kekal terdedah kepada risiko luaran termasuk ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar perdagangan global,” katanya dalam Dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Kedua 2025 (TKK ST2 2025) yang diterbitkan di sini hari ini.

Turut dikeluarkan, penerbitan Laporan Tahunan 2025 (LT 2025) dan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 (TEM 2025).

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, dari segi pelaburan, kelulusannya mencatat peningkatan ketara kepada RM427 bilion pada 2025, manakala kadar pelaksanaan projek pembuatan kekal tinggi sekitar 85 peratus.

Menurut beliau, dasar dan insentif yang jelas, rantaian bekalan yang pelbagai dan infrastruktur kukuh, serta tenaga kerja mahir adalah antara faktor yang menarik pelabur.

“Kami melihat pengembangan kapasiti sektor swasta semakin mendapat perhatian, diterajui oleh industri  teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Kami juga melihat kemajuan di bawah pelan induk negara dan pelaburan awam utama, termasuk tenaga boleh diperbaharui dan projek pengangkutan.

“Realisasi pelaburan ini akan memperkukuh kapasiti produktif Malaysia untuk masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast