Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai dalam Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang di SMK Tanjung Pengelih, Pengerang, hari ini.

PENGERANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri minyak dan gas memerlukan tenaga kerja berkemahiran yang tinggi.

Beliau berkata, keadaan itu menuntut usaha berterusan dalam memperkasa latihan dan pembangunan bakat tempatan.

“Konsep ‘talent pool’ perlu diberi perhatian agar negara tidak bergantung kepada tenaga pakar luar, khususnya apabila melibatkan industri besar termasuk pusat data dan teknologi digital.

“Dalam beberapa bidang, kita masih bergantung kepada kepakaran luar. Itu tidak menjadi masalah untuk sementara waktu, tetapi latihan mesti dipergiat supaya kita mampu melahirkan tenaga profesional sendiri,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pengelih, di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk meneruskan projek pembangunan Kolej Vokasional Pengerang selaras usaha memperkukuh latihan tenaga mahir bagi menyokong industri minyak dan gas negara.

Menurutnya, projek strategik itu perlu disegerakan dengan perancangan rapi termasuk penyelarasan bersama-sama antara Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya.

Menurutnya, kerajaan juga tidak menolak keperluan merujuk kepada Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan proses kelulusan memandangkan kepentingan strategik projek berkenaan.

“Walaupun keadaan ekonomi yang saya jelaskan tidak mudah sekarang tetapi oleh kerana kawasan ini kawasan strategik bagi perkembangan industri minyak dan gas selain Sarawak dan Sabah, pada hari ini saya meluluskan projek yang bernilai RM100 juta untuk komuniti.

“Ini projek penting, jadi mesti ada jadual tetap dan disegerakan. Kita mahu Pengerang menyaksikan kejayaan pelaksanaan ini sebelum tahun 2030,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast