Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse.

JOHOR BAHRU – Konvoi bermotosikal yang diterajui Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar dari Kelantan, Kedah dan Perlis didakwa sia-sia dan tidak membantu rakyat berdepan krisis tenaga global.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, program konvoi seperti itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang kerana rakyat sedang berdepan situasi sukar.

“Tetapi Pengerusi PN pula seronok menganjurkan konvoi motosikal sejauh 10 kilometer. Rakyat berhak bertanya, adakah konvoi berkenaan membantu menurunkan harga minyak?

“Adakah ia membantu menstabilkan bekalan? Adakah ia meringankan beban isi rumah, peniaga kecil dan pengangkutan?

“Lebih mengecewakan, ketika dunia bercakap tentang penjimatan, kecekapan dan kesiapsiagaan menghadapi krisis, PN memilih menganjurkan program yang langsung tidak menyumbang kepada penyelesaian masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan konvoi tersebut seperti mengajak orang ramai membakar minyak untuk program politik.

“Mengajak orang ramai berkonvoi beramai-ramai hanya mempamerkan kegagalan PN untuk memahami keutamaan semasa,” dakwanya lagi.

Dalam saat getir sekarang, katanya, rakyat tidak memerlukan program konvoi yang bersifat pembaziran tetapi memerlukan pemimpin yang cekap mengurus krisis.

Jelasnya, ini termasuk keberanian membuat keputusan sukar, menyelaras tindakan kerajaan dan mencari jalan terbaik demi melindungi rakyat.

“Ketika negara berdepan krisis minyak global, PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun berjumpa Menteri Besar dan Ketua Menteri seluruh negara untuk meneliti langkah bersama bagi menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

“PMX juga gigih ke sana ke mari menerangkan sendiri kepada rakyat tentang situasi sebenar negara,” ujarnya.

Semalam, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, acara konvoi bermotosikal sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 itu bukan sekadar perjalanan di jalan raya.

Sebaliknya, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, konvoi itu merupakan simbol perjalanan sebagai satu ummah.

Menurut Menteri Besar Terengganu berkenaan, mereka yang berhimpun dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 itu adalah kerana ingin membawa mesej jelas iaitu apabila bersatu, maka ummah akan menjadi kuat. –  MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast