Vivy Yusof dan Suami Hadir Perbicaraan Kes di Mahkamah KL.

KULAI – Projek penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara berpotensi meningkatkan kelewatan projek susulan kenaikan harga bahan binaan dan diesel akibat krisis di Asia Barat.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan berkata, pihaknya menjangkakan jumlah projek yang sedang berjalan lewat daripada jadual ditetapkan akan meningkat berbanding sebelum ini.

“Kadar sebenar kenaikan masih menunggu pengesahan rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Terdapat anggaran kenaikan antara 30 hingga 40 peratus, namun angka itu belum boleh disahkan tanpa data tepat.

“Saya tidak mahu mengesahkan kadar itu kerana kita perlu mendapatkan data saintifik daripada DOSM,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Jurutera Daerah Kulai di sini hari ini.

Beliau berkata, DOSM mempunyai kaedah khusus untuk mengukur kenaikan harga termasuk bahan binaan, makanan dan pengangkutan.

Ahmad turut memaklumkan pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan empat persatuan kontraktor utama bagi membincangkan isu berkenaan iaitu Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) dan Persatuan Kontraktor Mekanikal.

Ujarnya, antara tuntutan utama kontraktor ialah pelaksanaan Variation of Price (VOP), Extension of Time (EOT) serta kawalan harga bahan binaan seperti simen, pasir, batu dan besi.

Permohonan itu katanya, melibatkan tiga kementerian iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Buat masa ini kata Ahmad, tiada keputusan dibuat dan perkara berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kenaikan harga diesel memberi kesan paling besar kepada sektor pembinaan jalan raya kerana hampir 100 peratus operasi bergantung kepada jentera berat berasaskan bahan api tersebut.

Jelasnya, sebanyak 855 projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, kira-kira 280 projek atau hampir satu pertiga telah pun mengalami kelewatan sebelum ini.

Jelasnya, jumlah projek lewat dijangka meningkat kepada lebih 300 projek sekiranya tekanan kos semasa berterusan.

Justeru katanya, permohonan EOT daripada kontraktor adalah munasabah dalam situasi semasa.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast