Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berucap pada protes himpunan Tangkap Azam Baki ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat membeli belah Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan satu lagi demonstrasi `Tangkap Azam Baki’ akan diadakan pada 25 April depan (Sabtu).

Mengesahkan kehadirannya, Rafizi berkata, beliau akan bersama-sama anak muda dan rakyat Malaysia pada perhimpunan aman itu yang mahukan negara ini bebas daripada rasuah.

Beliau sekali lagi menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibaki apabila mendakwa wujud tanggapan individu dan badan yang diberi amanah membanteras rasuah telah menjadi senjata untuk mengejar sesiapa yang tidak `sekepala’ dengan yang berkuasa.

“Ia bermula dengan menukar Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, yang terpalit dengan skandal pemilikan saham sebanyak dua kali dan tuduhan bersekongkol dengan mafia korporat,” katanya menerusi rakaman video di laman sosial Facebook beliau malam ini.

Bagaimanapun, kata Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka yang berhasrat untuk menyertai himpunan itu perlu mengetahui selok-belok untuk berdemonstrasi.

“Pertama, demo sebab ada isu yang kita ambil pendirian, selalunya anak muda yang tampil sebab mereka percaya kepada idealisme mereka, apa pun pandangan kita kepada pendirian mereka.

“Kalau boleh jangan jadi demo macam yang satu lagi ni.

“Takut nak tunjuk muka. Malu-malu. Bila ditanya kenapa pakai penutup muka, jawabnya “sebab habuk”.

“Orangnya pula semua yang dah lanjut usia dengan rekod katak politik yang pernah masuk semua parti.

“Jom kita sama-sama tunjukkan cara demo yang sebenar di Dataran Merdeka, 25 April ini,” katanya merujuk kepada demonstrasi yang mendesak beliau berundur dari politik di pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast