Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah.

KUANTAN – Penamatan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Pahang bukan noktah, sebaliknya membuka lembaran baharu buat Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah untuk kembali memberi tumpuan penuh kepada akar umbi.

Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengakui menerima keputusan penamatan dengan hati terbuka, malah melihatnya sebagai ruang untuk memperkukuh gerak kerja di peringkat kawasan tanpa perlu kerap berulang-alik ke ibu negara.

“Saya tidak terkejut dan terima dengan hati terbuka. Sekarang saya boleh fokus kerja di Rompin tanpa terlalu terikat dengan mesyuarat di Kuala Lumpur.

“Sebelum ini banyak masa dihabiskan dengan komitmen mesyuarat pusat. Sekarang lebih banyak perkara boleh saya laksanakan untuk rakyat, kita tahu Rompin bukan kecil,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau, surat penamatan jawatan diterima pada 7 April lalu, namun dinyatakan berkuat kuasa lebih awal iaitu pada 10 Mac, sekali gus menimbulkan sedikit tanda tanya dari segi masa penyampaian surat berkenaan.

Biarpun sudah digugurkan, Abdul Khalib terbukti masih setia terhadap parti dengan kekal sebagai ahli Bersatu dan akan terus menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen serta Ketua Bahagian Rompin.

Abdul Khalib sebelum ini dilantik menerajui Bersatu Pahang pada Februari 2025 bagi menggantikan Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sebelum turut diberi kepercayaan sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang pada Januari lalu.

Abdul Khalib sebelum ini dilaporkan antara 18 ahli Parlimen Bersatu yang dikaitkan menyatakan sokongan kepada Hamzah, yang kemudiannya dipecat pada 16 Februari lalu atas dakwaan melanggar perlembagaan parti.

“Pelantikan Ketua Badan Pimpinan Negeri adalah hak prerogatif Presiden. Jadi Presiden berhak melantik sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai.

“Namun, saya tidak menolak kemungkinan pendirian saya sebelum ini menjadi antara faktor,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast