KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya menganjurkan Seminar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni 2026 (SEHEPA 2026) untuk memperkukuh pembangunan pelajar dan alumni secara holistik serta berimpak tinggi.
UPM dalam kenyataan memaklumkan, seminar yang disertai 450 staf dan pelajar itu dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan berlangsung selama dua hari dengan membawa tema ‘Memacu Pemerkasaan Pelajar dan Alumni Berteraskan Jiwa Putra, Strategi dan Impak’.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu dalam ucapan perasmian berkata, seminar itu menyelaras pelaksanaan dasar dan pelan strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) agar selari dengan keperluan semasa pendidikan tinggi yang semakin mencabar.
“HEPA memainkan peranan penting dalam ekosistem sokongan pelajar yang holistik, ihsan dan mampan.
“Seminar ini memperkukuhkan sinergi ekosistem antara semua jabatan dalam universiti dalam memperkasa perkhidmatan kepada pelajar dan alumni,” katanya semasa pelancaran seminar tersebut.
Dr. Arifin berkata, SEHEPA 2026 membentangkan 35 kertas seminar yang disertai oleh pegawai, staf HEPA, kepimpinan pelajar UPM, staf fakulti, sekolah pengajian, pusat dan bahagian yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan pelajar dan alumni UPM.
“Sebanyak tujuh fungsi utama HEPA diketengahkan dalam seminar ini, meliputi pembangunan dan pemerkasaan pelajar, kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan pemerkasaan alumni.
“Fungsi lain ialah tadbir urus dan pendigitalan perkhidmatan, pertanian dan keterjaminan makanan, pendanaan serta kesihatan planet dan kelestarian,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA , Abdullah Arshad berkata, pembentangan ringkas selama 15 minit setiap pembentang membolehkan perkongsian maklumat dilaksanakan secara padat, berfokus dan berimpak tinggi.
“Antara topik yang dibentangkan termasuk pembangunan pelajar holistik, kebolehpasaran graduan dalam era digital, kesejahteraan mental pelajar, keusahawanan mahasiswa, pemerkasaan kepimpinan pelajar serta pengukuhan jaringan alumni.
“Selain itu, aspek keterjaminan makanan kampus, kelestarian, serta peranan kolej kediaman sebagai ekosistem pembinaan sahsiah turut diberi penekanan dalam usaha membentuk mahasiswa yang seimbang dan berdaya tahan, “ katanya.
Seminar itu juga sejajar dengan Pelan Strategik HEPA 2026–2030 serta aspirasi True North UPM yang menekankan kecemerlangan berteraskan nilai, impak dan kelestarian. – MalaysiaGazette
















