Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Nabil Halimi.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa tindakan tegas diambil terhadap sebuah akaun media sosial yang didakwa menghina institusi diraja Selangor menerusi penyebaran imej tidak wajar.

Naib Ketuanya, Nabil Halimi berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan memuat naik haiwan berpakaian istiadat diraja yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut beliau, perbuatan tersebut bukan sahaja biadab, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menyinggung sensitiviti masyarakat majmuk di negeri itu.

“Perbuatan ini mencemarkan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Selangor serta tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap individu terlibat.

Dalam pada itu, Nabil turut mengarahkan semua Ketua AMK di Selangor supaya membuat laporan polis di setiap cabang masing-masing sebagai tanda bantahan terhadap isu berkenaan.

“Tindakan ini penting bagi menghantar mesej jelas bahawa rakyat Selangor tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan nama baik institusi diraja,” tegasnya.

Beliau menambah, mana-mana pihak yang didapati terlibat perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya mengikut lunas undang-undang negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast