Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk R. Sri Sanjeevan

SHAH ALAM – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil memperkukuh peranannya sebagai pemacu agenda inklusif parti, khususnya dalam usaha menarik sokongan bukan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Ketua Bersekutu Bersatu,  Datuk R. Sri Sanjeevan berkata, kehadiran sayap itu dalam Konvensyen Bersatu Negeri Selangor semalam bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen sebenar untuk memperluaskan penyertaan rakyat pelbagai kaum dalam arus perdana politik.

Menurutnya, Selangor sebagai negeri paling maju dan berpopulasi tinggi menggambarkan landskap politik Malaysia yang majmuk, urban dan semakin matang, sekali gus memerlukan pendekatan lebih inklusif.

“Sayap Bersekutu memainkan peranan sebagai jambatan keyakinan antara Bersatu dan masyarakat bukan Melayu dalam usaha memperkukuh sokongan serta membina semula kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, peranan itu bukan hanya tertumpu kepada membuka ruang penyertaan, tetapi memastikan penglibatan aktif dalam menentukan hala tuju negeri dan negara.

Dalam pada itu, Sanjeevan berkata, pengundi di Selangor kini lebih cenderung menilai parti berdasarkan dasar, kredibiliti dan kestabilan, menjadikan pendekatan politik lama semakin kurang relevan.

“Sayap Bersekutu Bersatu berada dalam posisi strategik untuk menyampaikan mesej parti dengan lebih dekat dan diyakini, selari dengan realiti masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.

Tambah beliau, sayap itu juga dilihat mampu menjadi pemangkin perubahan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya golongan muda dan pengundi atas pagar yang mahukan alternatif politik lebih sederhana serta berorientasikan penyelesaian.

Katanya, penglibatan aktif dalam konvensyen berkenaan turut membuktikan kesiapsiagaan parti dalam menghadapi cabaran pilihan raya dengan pendekatan lebih menyeluruh.

“Dengan strategi tersusun dan pelaksanaan konsisten, sayap Bersekutu Bersatu berpotensi memperluaskan sokongan serta menjadi antara faktor penting dalam membentuk gelombang menjelang PRU-16,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast