Saifuddin Shafi Muhammad.

SHAH ALAM – Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu miskin tegar di Selangor sebagai cubaan politik murahan yang tidak berpaksikan fakta sebenar serta gagal memahami data kemiskinan negara secara menyeluruh.

Beliau berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam usaha memperkasa institusi zakat serta memastikan agenda membasmi kemiskinan terus diberi perhatian secara berterusan dan bersepadu.

Menurutnya, semua pihak menyanjungi keprihatinan baginda terhadap isu kemiskinan serta kebajikan rakyat di negeri itu.

“Segala intipati titah Tuanku akan dijadikan panduan dan pedoman oleh kerajaan negeri dalam usaha memastikan Selangor terus menjadi negeri yang lebih makmur, maju serta tidak meminggirkan golongan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, usaha penoktahan miskin tegar bukan perkara baharu, malah telah menjadi fokus utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani sejak hari pertama pentadbiran.

“Kerajaan tidak pernah menafikan kewujudan golongan memerlukan, sebaliknya pendekatan diambil adalah berasaskan data rasmi serta Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang diguna pakai di peringkat nasional.

“Sebagai bekas Menteri Besar Selangor, Azmin sepatutnya memahami bahawa data eKasih dan bantuan kebajikan bukan bukti kegagalan kerajaan, tetapi sebahagian daripada mekanisme pengesanan serta intervensi untuk memastikan rakyat yang memerlukan terus dibantu,” katanya lagi.

Saifuddin berkata, kerajaan negeri Selangor bersama Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan secara berterusan termasuk program Bingkas, Khairat Darul Ehsan, Iltizam Selangor Sihat, Jom Shopping Perayaan serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang terus diperkasa dari semasa ke semasa.

Katanya, pendekatan itu membuktikan kerajaan bukan sekadar bercakap soal kebajikan, tetapi melaksanakan intervensi terus kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.

“Yang sebenarnya berada dalam ‘denial syndrome’ ialah Azmin sendiri. Ketika menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dahulu, beliau antara individu yang enggan mengakui peningkatan kes Covid-19 berpunca daripada kluster kilang walaupun data dan laporan ketika itu jelas menunjukkan perkara tersebut.

“Jadi janganlah hari ini beliau cuba menjadi juara rakyat dengan memainkan sentimen miskin tegar sedangkan rekod pentadbirannya sendiri memperlihatkan kegagalan memahami data serta realiti di lapangan,” katanya.

Beliau turut menegaskan usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, institusi zakat, agensi berkaitan dan masyarakat, bukannya dijadikan bahan politik untuk menyerang lawan.

“Kerajaan Madani akan terus memberi fokus kepada agenda membela rakyat secara menyeluruh dan memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Realiti miskin tegar perlihat sifat `sindrom penafian’ Kerajaan Negeri Selangor – Azmin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast