KUANTAN – Titah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung cadangan meluluskan eksport pasir sungai di Pahang wajar diperhalusi Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat serta usaha mengurangkan risiko banjir di negeri itu.
Aktivis masyarakat yang juga Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, titah pandangan disuarakan Tengku Mahkota Pahang itu mempunyai asas tersendiri memandangkan Pahang memiliki sistem sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang memerlukan pengurusan serta penyelenggaraan berterusan.
Menurutnya, kerja-kerja pengorekan pasir secara terkawal bukan sahaja mampu membantu melancarkan aliran sungai, malah berpotensi menjana hasil ekonomi kepada negeri dan negara.
“Apabila berlaku mendapan pasir yang tinggi, aliran sungai boleh menjadi semakin cetek dan ini berpotensi meningkatkan risiko banjir terutama ketika musim hujan.
“Sebab itu titah Tengku Mahkota Pahang ini wajar diperhalusi kerana ia dilihat demi kebaikan rakyat khususnya warga Pahang yang saban tahun berdepan ancaman banjir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, langkah menguruskan mendapan pasir sungai secara sistematik juga mampu memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk logistik, pengangkutan dan pembinaan selain membuka peluang ekonomi kepada syarikat tempatan.
Katanya lagi, pengurusan pasir sungai yang baik boleh membantu memastikan aliran air lebih lancar serta mengurangkan tekanan terhadap kawasan yang sering dilanda banjir.
“Sudah tentu semua pihak mahu melihat penyelesaian jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri. Apa yang penting ialah pelaksanaan dilakukan secara terkawal, telus serta mematuhi aspek alam sekitar,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan cadangan tersebut boleh dipertimbangkan secara menyeluruh oleh kerajaan kerana ia bukan sahaja melibatkan soal ekonomi negeri, tetapi juga usaha pengurusan sungai dan mitigasi banjir.
Terdahulu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilaporkan melahirkan rasa kecewa apabila usaha Pahang untuk menambahkan hasil negeri menerusi eksport pasir sungai masih belum mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan. -MalaysiaGazette















