CHENNAI – Superstar filem Tamil, C Joseph Vijay mencipta sejarah baharu politik India apabila secara rasmi dilantik sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas berjaya menumbangkan gergasi politik negeri itu, M. K. Stalin.
Pelantikan Presiden Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) itu diumumkan Lok Bhavan Tamil Nadu selepas beliau memperoleh sokongan majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan gabungan baharu malam tadi.
Majlis angkat sumpah Vijay dijadual berlangsung di Stadium Jawaharlal Nehru, Chennai pagi ini waktu tempatan dengan ribuan penyokong dijangka hadir meraikan kemenangan bersejarah tersebut.
Menurut kenyataan rasmi, Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar berkenan melantik Vijay selepas beliau mengemukakan surat sokongan beberapa parti termasuk Indian National Congress, Communist Party of India, Communist Party of India (Marxist), Viduthalai Chiruthaigal Katchi dan Indian Union Muslim League.
Terdahulu, sekitar 6 petang semalam kebanyakan media Tamil Nadu mula menyiarkan siaran langsung dari luar Lok Bhavan sambil rakyat dan pemerhati politik berteka-teki sama ada pertemuan antara Vijay dan Gabenor kali ini akan mendapat perkenan rasmi untuk membentuk kerajaan.

Debaran itu tercetus selepas keputusan pilihan raya negeri menyaksikan TVK muncul parti terbesar dengan 108 kerusi namun masih gagal memperoleh majoriti mudah secara bersendirian.
Kebangkitan TVK dianggap luar biasa kerana parti itu baru ditubuhkan tahun lalu tetapi berjaya memecahkan dominasi politik Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) dan All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) yang menguasai Tamil Nadu sejak beberapa dekad lalu.
Pemerhati politik India menyifatkan kemenangan Vijay sebagai kebangkitan generasi baharu apabila pengaruh budaya popular, media sosial dan gerakan peminat berjaya diterjemahkan menjadi kekuatan politik sebenar.
Sepanjang kempen pilihan raya, Vijay membawa mesej perubahan, peluang pekerjaan anak muda, kebajikan rakyat dan reformasi pentadbiran selain mengetengahkan imej anti-establishment yang dekat dengan golongan muda.
Dalam pilihan raya itu, Vijay turut menang besar di kerusi Perambur dan Tiruchirappalli East namun dijangka mengosongkan satu kerusi mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya India.
Fenomena pelakon menjadi pemimpin politik bukan perkara asing di Tamil Nadu yang pernah dipimpin legenda filem seperti M. G. Ramachandran dan J. Jayalalithaa.
Sebelum mencipta sejarah politik di India, Vijay terlebih dahulu mencuri perhatian di Malaysia apabila memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pelancaran audio filem terakhirnya, Jana Nayagan hujung tahun lalu.
Acara mega yang menghimpunkan lebih 85,000 peminat itu dianjurkan syarikat Malik Streams milik figura korporat Malaysia, Datuk Abdul Malik Dashtigeer yang juga antara individu terawal mengucapkan tahniah kepada Vijay selepas pengumuman pembentukan kerajaan dibuat.

Pada acara tersebut, Vijay turut mengumumkan beliau akan meninggalkan dunia lakonan bagi memberi fokus sepenuhnya kepada perjuangan politiknya. – MalaysiaGazette
















