Lawrence Low

KUALA LUMPUR – Kenaikan berterusan harga diesel selain peningkatan kos bahan mentah, pengangkutan dan operasi telah memberi tekanan luar biasa kepada pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Naib Presiden MCA, Lawrence Low berkata, ketika ini paling diperlukan oleh peniaga bukan bantuan kewangan sekali beri atau subsidi sementara kerana ia hanya memberi kelegaan jangka pendek dan tidak menyelesaikan masalah asas persekitaran perniagaan.

Sebaliknya, kerajaan perlu mempertimbangkan pengurangan beban cukai, mempermudah prosedur pelesenan serta mengecualikan caj yang tidak perlu bagi membantu memulihkan keyakinan perniagaan.

“Kenaikan harga diesel meningkatkan kos logistik dan pengangkutan dengan ketara, manakala turun naik harga bahan mentah terus menekan margin keuntungan.

“Dalam masa sama, beban lesen tempatan, proses pembaharuan, caj pentadbiran dan syarat pematuhan yang semakin meningkat menjadikan operasi PKS semakin sukar,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi dan Hubungan PKS.

Menurut beliau, antara sektor yang paling terkesan ialah perniagaan runcit tradisional, pengusaha makanan dan minuman kecil, syarikat logistik serta industri perkhidmatan.

Bagi menangani cabaran tersebut, MCA mencadangkan beberapa langkah termasuk mempermudah dan mendigitalkan proses permohonan bagi mengurangkan birokrasi dan dokumentasi berulang.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mengkaji semula dan mengurangkan fi pelesenan serta caj pentadbiran tempatan termasuk memperkenalkan kadar nominal yang lebih rendah jika sesuai.

Beliau turut mencadangkan proses kelulusan dipercepatkan bagi mengelakkan kelewatan yang boleh mengganggu operasi perniagaan.

“MCA juga menggesa kerajaan bekerjasama rapat dengan persatuan perniagaan dan pertubuhan masyarakat sivil supaya dasar yang dilaksanakan benar-benar mencerminkan kebimbangan peniaga di peringkat akar umbi,” katanya.

Tambah beliau, penguatkuasaan juga perlu dilakukan secara adil dan telus tanpa membebankan perniagaan yang mematuhi undang-undang.

Lawrence berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan pengecualian cukai pendapatan sementara atau pengurangan cukai bersasar kepada sektor terjejas bagi mengurangkan tekanan kewangan dan memulihkan keyakinan pasaran.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada subsidi sementara atau bantuan sekali beri kerana langkah sedemikian bukan penyelesaian mampan.

“Apa yang diperlukan ialah reformasi sistem cukai, pelesenan dan pentadbiran yang benar-benar mengurangkan kos operasi serta menghapuskan kerenah birokrasi yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga sebenarnya tidak meminta bantuan kewangan daripada kerajaan, sebaliknya hanya mahu dasar yang tidak menambahkan lagi beban mereka.

“Pengurangan tekanan cukai, penurunan fi lesen, pemudahan prosedur atau pengecualian caj tertentu sudah cukup memberi kelegaan besar kepada peniaga,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan, ketidaktentuan ekonomi global ketika ini boleh menyebabkan keruntuhan besar-besaran PKS tempatan yang akhirnya menjejaskan peluang pekerjaan dan keseluruhan ekosistem ekonomi negara.

“PKS sudah lama menjadi tunjang ekonomi negara. Jika banyak perniagaan gulung tikar, ia akan mengganggu rantaian bekalan, aktiviti pengguna dan pembangunan ekonomi tempatan.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil serius cabaran sebenar yang dihadapi perniagaan tempatan demi memastikan kelangsungan ekonomi negara dalam jangka panjang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast