SHAH ALAM – Individu Masyarakat Sivil (NGI), Chandrasegaran Subramaniam kecewa dan marah terhadap tindakan pihak tertentu yang menghina Sultan Selangor menerusi hantaran di media sosial.
Chandra berkata, walaupun beliau berbangsa India namun tindakan menghina institusi diraja itu tidak boleh diterima dan perlu ditentang seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Walaupun saya sebagai seorang India, saya pun cukup bengang dengan apa yang mereka post sampai hina Sultan Selangor,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menurutnya hanya bersuara selepas isu berkenaan mendapat perhatian ramai.
“Menteri Besar Selangor baru sekarang buka mulut. Dia nak tawar makanan dan macam-macam, tak payah umpan. Rakyat ada duit, rakyat boleh beli air mineral sendiri,” tegasnya.
Chandra mendakwa, beliau merupakan individu pertama yang membuat laporan polis berhubung isu tersebut kepada pihak berkuasa pada peringkat awal.
“Saya yang buat laporan pertama di IPD Selangor. Tak ada tindakan, lepas itu satu persatu baru ada tindakan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, isu berkenaan tidak sepatutnya dipolitikkan dan menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu mempertahankan kedaulatan institusi diraja.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India, Kadazan dan mana-mana bangsa sekali pun, kalau betul-betul nak menegakkan kedaulatan Institusi Diraja, tolong hadir 16 Mei ini.
“Saya nak mengajak orang ramai menghadiri Himpunan Mega Daulat Tuanku yang dijadual berlangsung di Bangunan SUK Selangor, pukul 5 petang, 16 Mei ini.
“Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Kita jumpa di sana nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















